top of page

Serangan Terhadap Azam baki: Siapa Sebenarnya Terganggu?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Sejak kebelakangan ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, diserang bertubi-tubi dari pelbagai arah. Pelbagai tuduhan dilemparkan, persepsi dibina, dan emosi rakyat cuba digerakkan seolah-olah beliau telah melakukan kesalahan besar.


Namun persoalan yang lebih penting ialah — mengapa sekarang? Hakikatnya, di bawah kepimpinan Azam Baki, SPRM memperlihatkan pendekatan yang agresif dan tegas dalam membanteras rasuah tanpa memilih bulu.


Bukan sahaja “ikan bilis”, malah “jerung besar” yang sebelum ini dianggap kebal turut disiasat dan didakwa.


Penguatkuasaan paling berani


Kita menyaksikan tokoh bertaraf Tun dan Tan Sri, pemimpin korporat berprofil tinggi, ahli politik merentasi parti, bekas Perdana Menteri malah individu dari institusi keselamatan negara turut dipanggil memberi keterangan dan dihadapkan ke mahkamah. Perkembangan ini merupakan antara tindakan penguatkuasaan paling berani dalam landskap sejarah moden Malaysia.


SPRM di bawah Azam Baki menegaskan prinsip bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang — no one is above the law.


Di peringkat antarabangsa, usaha Malaysia dalam memperkukuh integriti turut mendapat perhatian. Peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) memberi gambaran keyakinan global terhadap komitmen pembaharuan institusi. Dalam aspek pencegahan pengubahan wang haram dan pemulihan aset pula, Malaysia menerima penilaian positif daripada Financial Action Task Force (FATF).


Berbilion ringgit dana yang sebelum ini diseleweng berjaya dikesan dan dipulihkan — wang yang sepatutnya kembali kepada rakyat dan negara.


Tentangan elit terdesak


Apabila penguatkuasaan menyentuh kepentingan individu yang kaya, berpengaruh dan berkuasa, tentangan bukan sesuatu yang luar biasa. Sejarah dunia menunjukkan bahawa apabila golongan elit yang terkesan ditekan, mereka akan melawan melalui pelbagai saluran — politik, undang-undang, media dan perang persepsi.

Penulis - Shahbudin Embun
Penulis - Shahbudin Embun

Isu pembelian saham yang dikaitkan dengan Azam Baki juga perlu dilihat secara rasional. Pelaburan saham bukan satu jenayah di Malaysia, dan penjawat awam dibenarkan melabur dengan syarat mematuhi prosedur pengisytiharan. Tan Sri Azam menyatakan bahawa saham tersebut telah diisytiharkan dan dilupuskan dalam tahun yang sama. Jika benar, maka isu ini lebih menjurus kepada persoalan tatakelola pentadbiran, bukan rasuah atau salah guna kuasa.


Setakat ini, tiada sabitan jenayah rasuah atau salah guna kuasa terhadap beliau. Namun persepsi seolah-olah beliau telah bersalah terus dimainkan.


Rakyat perlu sedar bahawa mereka yang berada di barisan hadapan memerangi rasuah dan memulangkan dana negara sememangnya akan menjadi sasaran pihak yang berasa tergugat.


Potensi lemahkan usaha banteras rasuah


Dalam masa yang sama, kerajaan telah menubuhkan mekanisme serta jawatankuasa berkaitan bagi meneliti isu ini. Oleh itu, adalah wajar proses tersebut diberi ruang berjalan secara adil dan telus.


Prinsip asas keadilan ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.


Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar serangan terhadap seorang individu, tetapi berpotensi melemahkan institusi yang menjadi benteng utama negara dalam memerangi rasuah. Jika pemimpin penguatkuasaan yang tegas dijatuhkan melalui tekanan persepsi, mesejnya amat berbahaya — bahawa sesiapa yang berani melawan rasuah akan diserang habis-habisan.


Malaysia tidak boleh kembali ke era di mana “jerung besar” bebas berenang sementara institusi penguatkuasaan dilemahkan. Biarlah kebenaran ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sah — bukan melalui mahkamah media atau tekanan emosi.


Sejarah akhirnya akan menilai siapa yang benar-benar mempertahankan integriti negara dan siapa yang cuba melindungi kepentingan sendiri. Usaha memerangi rasuah adalah perjuangan jangka panjang demi agama, bangsa dan tanah air. Institusi mesti diperkukuh, keadilan mesti ditegakkan, dan integriti negara mesti dipertahankan tanpa gentar.


Tahniah Tan Sri Azam Baki serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan wira negara kerana setakat ini telah membawa balik 15.5 bilion wang rampasan ke katong negara. Teruskan usaha murni ini demi agama, bangsa dan negara.


Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page