top of page

Serangan terbaharu di Gaza: Dunia tidak boleh percaya janji damai Israel?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 11
  • 2 min read

ree

Serangan udara terbaharu tentera Israel ke atas Gaza menimbulkan tanda tanya tentang keseriusan rejim zionis menguatkuasakan gencatan senjata yang dipersetujui beberapa hari lalu.


Bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, dunia mungkin tidak boleh lagi mempercayai janji damai rejim selepas serangan udara tersebut yang membuktikan gencatan senjata tanpa pengawasan antarabangsa hanyalah “kertas kosong” dan Israel tidak pernah jujur dengan mana-mana perjanjian damai.


Menurutnya, tindakan Israel yang kembali menyerang selepas setuju berdamai bukan sahaja melanggar semangat perjanjian, tetapi menghina undang-undang antarabangsa dan maruah kemanusiaan sejagat.

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

"Serangan ini membuktikan apa yang kita khuatiri sejak awal, gencatan senjata tanpa pengawasan antarabangsa hanyalah kertas kosong. Israel tidak pernah jujur dengan sebarang perjanjian," katanya.


Beliau menegaskan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti segera menubuhkan pasukan pengaman antarabangsa dengan mandat tegas untuk melindungi rakyat Palestin. Tanpa pengawasan bersenjata yang bebas, katanya, gencatan senjata akan terus dicabuli sewenang-wenangnya.


"Palestin tak perlukan janji kosong, mereka perlukan perlindungan sebenar daripada tentera pengaman antarabangsa," ujar beliau.


Mahfuz turut menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas pelanggaran terbaharu itu, dengan menekankan bahawa dunia tidak boleh terus mengamalkan “double standard” dalam menegakkan undang-undang antarabangsa.


"Siasatan bebas antarabangsa perlu dimulakan segera, dan mereka yang memberi arahan serangan mesti dihadapkan ke muka pengadilan," ujarnya.


Dalam masa sama, beliau menggesa negara-negara Islam dan blok Global South termasuk Malaysia untuk terus memimpin desakan diplomatik dan kemanusiaan agar keadilan ditegakkan.


"Kita tidak boleh sekadar berdoa dan menunggu, kita mesti mendesak suatu tindakan. Damai atas kertas, bom di langit Gaza, inilah damai hipokrasi penjajah Israel yang dunia biarkan," katanya.


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian kerajaan Malaysia untuk mengecam tindakan Israel dan mendukung sebarang resolusi baharu di PBB bagi mewujudkan zon perlindungan antarabangsa di Gaza.


Beliau menegaskan bahawa damai bukan sekadar berhenti berperang, tetapi hanya akan tercapai apabila tiada lagi rakyat dibom, tiada lagi yang dibunuh, dan tiada lagi tanah yang dirampas.


"Kita bersyukur atas setiap detik tenang yang diperoleh rakyat Palestin, tetapi kita tidak boleh menutup mata terhadap pengkhianatan yang berlaku. Dunia mesti bangkit mempertahankan keadilan, bukan sekadar menonton kemanusiaan dihancurkan kali demi kali," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page