top of page

Serangan pisau di Kuching: Kukuhkan keselamatan di sekolah - AMK Sarawak

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
4 hours ago
1 min read

Pihak pengurusan sekolah dan pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan menyeluruh, profesional dan telus berhubung insiden serangan pisau oleh pelajar berusia 16 tahun terhadap seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching bagi mengenal pasti punca kejadian.


Gesaan itu dilakukan oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sarawak, Azlan Norita yang memandang serius insiden berkenaan.


Katanya, pendekatan menangani insiden seperti itu tidak seharusnya terhad kepada aspek keselamatan fizikal semata-mata.


"Perhatian juga perlu diberikan kepada kesejahteraan emosi, kesihatan mental, persekitaran sosial dan pembentukan disiplin dalam kalangan pelajar, dengan penglibatan ibu bapa, pihak sekolah serta kaunselor.


"Keselamatan guru dan pelajar adalah tanggungjawab bersama. Kita tidak mahu kejadian seumpama ini berulang sehingga mengancam keselamatan warga pendidikan dan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi sekolah.


"Kami akan terus menyokong usaha memperkukuh keselamatan sekolah, membina persekitaran pendidikan yang sihat serta memastikan kebajikan guru dan pelajar sentiasa diberikan perhatian sewajarnya," katanya dalam kenyataan.


Dalam pada itu, Azlan berkata pihaknya menzahirkan rasa simpati terhadap guru yang tercedera dan berharap agar beliau diberikan rawatan sewajarnya serta segera pulih.


"Penghargaan juga wajar diberikan kepada pihak yang bertindak mengawal keadaan sementara menunggu tindakan pihak berkuasa.


"Insiden ini perlu dijadikan peringatan bahawa keselamatan warga sekolah mesti menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.


"Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk proses pembelajaran, pembentukan sahsiah dan perkembangan generasi muda, bukannya ruang yang mendedahkan guru serta pelajar kepada risiko keganasan," ujarnya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page