top of page

MAPIM sokong larangan pengunaan Waze, keselamatan data diutamakan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
48 minutes ago
3 min read
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia,  Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia,  Mohd Azmi Abdul Hamid

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu wajar diberikan perhatian dalam usaha memperkukuh keselamatan siber, melindungi kepentingan strategik Malaysia serta memperjelas hubungan antara penggunaan teknologi digital dengan tanggungjawab moral dan dasar luar negara.


Menurutnya, larangan yang dilaporkan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 itu perlu dilihat dalam kerangka lebih luas berkaitan kedaulatan digital negara.


"MAPIM berpandangan bahawa keputusan ini perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Dalam dunia hari ini, aplikasi digital bukan lagi sekadar alat kemudahan harian. Ia boleh melibatkan pengumpulan data lokasi, corak pergerakan pengguna, pemprosesan maklumat dan akses kepada infrastruktur digital yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan individu, organisasi serta negara," katanya dalam kenyataan media.


Mohd Azmi berkata, Malaysia perlu mempunyai dasar kedaulatan digital yang jelas, konsisten dan berasaskan penilaian risiko, khususnya bagi aplikasi yang digunakan penjawat awam yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif atau terlibat dalam operasi strategik kerajaan.


Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan asas penilaian keselamatan yang membawa kepada larangan Waze supaya keputusan berkenaan difahami sebagai langkah melindungi kepentingan negara.


"Penjelasan tersebut penting supaya keputusan ini difahami sebagai langkah perlindungan kepentingan negara yang berasaskan bukti, bukannya tindakan simbolik yang terpisah daripada suatu kerangka keselamatan digital yang menyeluruh," katanya.


Pada masa sama, bagi MAPIM asal usul sesebuah syarikat tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa setiap produknya menyalurkan maklumat kepada kerajaan tertentu atau terlibat dalam kegiatan yang menjejaskan keselamatan negara. Sebaliknya pemilikan korporat, hubungan strategik dan bidang kuasa undang-undang merupakan faktor sah yang perlu dimasukkan dalam penilaian risiko


Mohd Azmi juga mengaitkan isu berkenaan dengan pendirian Malaysia terhadap Palestin, sambil menegaskan solidariti terhadap rakyat negara itu perlu diterjemahkan melalui dasar institusi yang munasabah.


"Solidariti terhadap Palestin tidak boleh terhenti pada ucapan, resolusi atau kecaman diplomatik. Ia perlu disertai penelitian terhadap hubungan ekonomi, teknologi, perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan pihak yang terbabit dalam penindasan rakyat Palestin," katanya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap tindakan perlu mempunyai asas kukuh, objektif jelas dan mekanisme pelaksanaan berkesan, selain berlandaskan fakta, pematuhan undang-undang serta perlindungan kepentingan rakyat.


Selain itu, Azmi turut mencadangkan supaya penilaian diperluas kepada semua aplikasi dan platform digital yang digunakan dalam urusan rasmi perkhidmatan awam, termasuk aplikasi komunikasi, penyimpanan awan, kecerdasan buatan, analitik data dan perkhidmatan lain yang berpotensi mengendalikan maklumat sensitif.


"Jika keselamatan data menjadi asas utama larangan Waze, prinsip yang sama hendaklah diterapkan kepada semua penyedia perkhidmatan digital tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial mereka.


"Konsistensi dasar merupakan ukuran penting terhadap kesungguhan kerajaan mempertahankan kedaulatan digital negara," katanya.


Beliau berkata, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing dengan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan teknologi navigasi, pemetaan digital serta pengurusan data tempatan.


Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan, universiti, penyelidik dan syarikat teknologi tempatan perlu digalakkan bagi membangunkan alternatif yang selamat, cekap dan memenuhi keperluan pengguna.


Bagaimanapun, setiap aplikasi alternatif perlu dinilai berdasarkan ketepatan navigasi, perlindungan privasi, keselamatan siber, kebolehpercayaan dan keupayaan teknikal supaya peralihan tidak menjejaskan kecekapan perkhidmatan awam atau mewujudkan risiko baharu.


"Jika larangan ini berasaskan penilaian risiko yang kukuh, MAPIM menyokong usaha kerajaan melindungi kepentingan strategik negara.


"Namun, tindakan tersebut perlu menjadi sebahagian daripada dasar yang lebih menyeluruh, telus dan konsisten, bukan suatu keputusan terasing yang tidak diikuti pembaharuan lain," katanya.


Beliau menegaskan Malaysia perlu bergerak ke arah kedaulatan digital sebenar dengan keupayaan menilai teknologi secara bebas, melindungi data rakyat dan membangunkan alternatif berdaya saing.


"Teknologi mesti berkhidmat kepada manusia, keselamatan negara dan keadilan. Kedaulatan digital tidak boleh dikompromikan, dan prinsip kemanusiaan mesti diterjemahkan melalui dasar yang berasaskan fakta, konsisten serta berkesan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page