top of page

Bekas AG gesa kerajaan bawa pulang Sirul, bongkar semula kes bunuh Altantuya

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
56 minutes ago
4 min read

Kerajaan Malaysia hanya memerlukan surat jaminan untuk membuka laluan membawa pulang bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dari Australia bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu diteruskan.


Hal itu terkandung dalam dokumentari dua bahagian terbitan Al Jazeera, Murder in Malaysia: Justice for Altantuya Shaariibuu yang disiarkan menerusi program 101 East pada 17 Oktober lalu dan memasukan komen bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.


Menurut Tommy, Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara perlu bekerjasama menyediakan surat menyatakan Sirul tidak akan dijatuhkan hukuman mati kepada pihak berkuasa Australia untuk membawa beliau pulang ke tanah air.


"Malaysia hanya perlu memberi aku janji kepada Australia bahawa Sirul tidak akan berdepan hukuman mati apabila pulang," katanya.


Dokumentari terbitan Al Jazeera itu disediakan oleh wartawan Mary Ann Jolley, menyiasat persoalan yang masih belum terjawab berhubung pembunuhan Altantuya pada 2006 termasuk dakwaan campur tangan politik, kaitan kes itu dengan urus niaga kapal selam Malaysia-Perancis serta dakwaan bahawa kedua-dua bekas anggota polis terbabit bertindak atas arahan pihak lain.


Kepulangan Sirul penting


Thomas dan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo berkata, kepulangan Sirul penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengesahkan dakwaan yang dikemukakannya dalam akuan berkanun ketika ditahan pihak imigresen Australia.


Mereka turut menggesa pihak berkuasa menyiasat akuan berkanun berasingan yang dibuat seorang lagi bekas anggota polis, Azilah Hadri bagi menentukan kesahihan dakwaan kedua-duanya.


Thomas dan Sangeet berkata tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya mana-mana pihak didapati membuat akuan palsu manakala dakwaan yang mempunyai asas pula perlu disiasat.


Sangeet berkata beliau telah menulis kepada Peguam Negara bagi meminta tindakan diambil berhubung perkara itu, namun belum menerima sebarang maklum balas.


Menurut beliau keluarga Altantuya hanya mahu Malaysia dan Australia mencari jalan yang sah melalui proses mahkamah serta saluran diplomatik supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dipertanggungjawabkan.


"Kita mesti menamatkan kebuntuan ini kerana kebuntuan itu sendiri merupakan satu ketidakadilan," katanya.


Sangeet turut mempersoalkan mengapa Azilah, yang ketika itu merupakan anggota polis, menerima arahan daripada penganalisis politik Abdul Razak Baginda sedangkan Razak bukan pegawai atasannya.


Persoalan itu katanya, masih belum terjawab dan wajar disiasat.


Razak sebelum ini dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya.


Sangeet berkata Razak juga mempunyai peluang untuk memberikan keterangan bersumpah bahawa kedua-dua anggota polis itu bertindak sendirian ketika prosiding saman sivil yang difailkan keluarga mangsa. Bagaimanapun beliau tidak berbuat demikian.


Mesej teks Najib kepada Musa


Dokumentari itu turut mendedahkan mesej teks yang dihantar Razak kepada Musa Safri, pembantu keselamatan kepada Datuk Seri Najib Razak pada malam sebelum Altantuya dibunuh.


Dalam mesej pada pukul 9.35 malam, Razak bertanya sama ada Musa menerima mesej terdahulu berhubung hasratnya untuk bertemu di pejabat Timbalan Perdana Menteri.


Tiga minit kemudian, Razak menghantar mesej susulan untuk bertanya bila Musa akan berada di pejabat itu dan menyatakan hasrat untuk singgah pada keesokan paginya.


Peguam Americk Singh Sidhu yang pernah mewakili mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam mempersoalkan tujuan pertemuan itu serta penglibatan pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam rangkaian komunikasi berkenaan.


Balasubramaniam sebelum ini diupah Razak untuk memantau pergerakan Altantuya sebelum wanita itu dibunuh.


Americk turut menggesa fail pasukan petugas khas yang ditubuhkan Thomas ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 hingga 2020 dibuka semula.


Menurutnya pasukan itu pernah menemu bual kira-kira 40 saksi berkaitan akuan berkanun Sirul pada 2019.


Beliau berkata kebenaran mengenai kes itu perlu didedahkan kepada umum dan tekanan masyarakat diperlukan bagi memastikan siasatan tidak terhenti.


Mahkamah kekalkan sabitan, Azilah dihukum penjara 40 tahun


Altantuya, 28, dibunuh di kawasan hutan pinggir Shah Alam pada Oktober 2006 sebelum diletupkan menggunakan bahan letupan C4.


Azilah dan Sirul yang ketika itu merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ditangkap dan didakwa atas pembunuhan berkenaan.


Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan kedua-duanya dan menjatuhkan hukuman mati.


Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2013 membatalkan sabitan itu dan membebaskan mereka.


Pendakwaan kemudian merayu keputusan berkenaan sebelum pada Januari 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan pembebasan tersebut, sekali gus mengembalikan sabitan serta hukuman mati terhadap kedua-duanya.


Sirul bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu dibuat kerana telah berada di Australia, negara beliau mendapatkan perlindungan selepas meninggalkan Malaysia.


Permohonan suaka Sirul ditolak pada 2019 dan beliau ditahan pihak imigresen Australia sehingga dibebaskan pada 2023.


Beliau tidak dihantar pulang ke Malaysia kerana undang-undang Australia menghalang penghantaran pulang seseorang ke negara yang berkemungkinan mengenakan hukuman mati terhadapnya.


Selepas Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori, Azilah memohon semakan hukuman dan pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman matinya dengan penjara 40 tahun serta 12 sebatan.


Hukuman itu dikira dari tarikh beliau ditangkap pada 1 November 2006 dengan mengecualikan tempoh kira-kira setahun empat bulan ketika beliau dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.


Keputusan tersebut hanya menyemak hukuman, bukan sabitan kesalahan Azilah.


Saman sivil pembunuhan Altantuya


Dalam perkembangan berkaitan, saman sivil keluarga Altantuya turut menjadi sebahagian daripada usaha mendapatkan keadilan.


Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2022 memerintahkan pembayaran ganti rugi RM5 juta kepada keluarga mangsa sebelum Mahkamah Rayuan pada Januari 2026 mengurangkan jumlah itu kepada RM1.4 juta dan melepaskan kerajaan daripada liabiliti.


Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev seorang profesor dari Mongolia dilaporkan telah berulang kali datang ke Malaysia untuk menuntut keadilan bagi anaknya dan bertekad meneruskan usaha mengenal pasti pihak yang mengarahkan pembunuhan itu.


Dokumentari Al Jazeera berkenaan sekali lagi menghidupkan persoalan mengenai motif pembunuhan Altantuya dan sama ada semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu telah disiasat sepenuhnya.


Dokumentari terbaharu itu mengimbas kembali kontroversi yang pernah tercetus susulan penerbitan dokumentari Murder in Malaysia oleh Al Jazeera pada September 2015.


Ketika itu Ann Jolley dilaporkan dihantar pulang dari Malaysia selepas menjalankan kerja penerbitan dokumentari berkenaan manakala polis membuka siasatan terhadap laporannya.


Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Salleh Said Keruak mengkritik dokumentari berkenaan dengan mendakwa ia mengandungi putar belit, pembohongan dan spekulasi.


Kontroversi itu berlanjutan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM4,000 terhadap Astro pada Julai 2020 kerana menyiarkan semula dokumentari tersebut pada 2015.


MCMC menjelaskan tindakan itu berkaitan kandungan siaran yang didapati melanggar Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.







Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page