Mafia Korporat: Lakukan siasatan telus tanpa pilih kasih - Dr Mujahid


Parti AMANAH Negara mengemukakan lima tuntutan bagi memastikan siasatan dakwaan kewujudan “mafia korporat” dijalankan secara telus, bebas dan tanpa campur tangan pihak berkepentingan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, AMANAH menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi yang diketuai Peguam Negara bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Katanya, langkah itu selari dengan komitmen Perdana Menteri di Parlimen bahawa siasatan tidak akan ditutup, tiada pihak dilindungi dan laporan lengkap akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.

"Bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan mendapat keyakinan rakyat, AMANAH mengemukakan lima tuntutan utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lima tuntutan itu merangkumi keperluan mengumumkan terma rujukan yang jelas, memastikan siasatan bebas daripada konflik kepentingan, menjalankan siasatan secara profesional dan berasaskan bukti, mendedahkan laporan penuh kepada rakyat serta mengambil tindakan pendakwaan sekiranya bukti mencukupi.
Mujahid berkata, skop, tempoh dan bidang kuasa pasukan petugas perlu diumumkan supaya rakyat memahami hala tuju serta batas siasatan yang dijalankan.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu atau agensi yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan tidak seharusnya mempengaruhi perjalanan siasatan.
Pada masa sama, setiap dakwaan perlu disiasat secara adil dan profesional tanpa menghukum mana-mana pihak sebelum proses undang-undang selesai.
"Laporan penuh perlu didedahkan kepada rakyat dengan mematuhi tempoh tiga bulan yang ditetapkan, selain menjelaskan dapatan siasatan, tindakan susulan dan pihak yang bertanggungjawab," ujarnya.
Menurut Mujahid, sekiranya terdapat bukti mencukupi, tindakan pendakwaan perlu dilakukan tanpa memilih bulu, manakala kelompongan undang-undang yang membuka ruang kepada manipulasi korporat juga perlu ditangani.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan beberapa individu, sebaliknya menguji keupayaan institusi negara mempertahankan integriti dan kebebasannya daripada pengaruh kuasa ekonomi serta kepentingan tertentu.
"AMANAH menyokong ketegasan PMX dalam memastikan kebenaran ditegakkan dan tiada pihak dilindungi daripada tindakan undang-undang.
"Siasat tanpa takut, dedahkan kebenaran dan bertindak tanpa memilih bulu," katanya lagi.




Comments