top of page

Keselamatan siber diperkukuh, kedaulatan data jadi keutamaan - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
4 hours ago
2 min read
DS Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara di Putrajaya
DS Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara di Putrajaya

Kerajaan terus memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara bagi menghadapi ancaman digital yang semakin kompleks, termasuk serangan berasaskan kecerdasan buatan (AI), ancaman komputer kuantum serta risiko terhadap keselamatan identiti dan data rakyat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu antara fokus Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil. 3/2026 yang dipengerusikannya semalam.


Menurut beliau, mesyuarat berkenaan meneliti perkembangan ancaman siber semasa selain membincangkan langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.


Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan AI autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).


Mesyuarat turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi navigasi Waze, yang menurut kenyataan Anwar tertakluk kepada undang-undang Kerajaan Israel.


Sehubungan itu, penggunaan aplikasi navigasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif.


Langkah berkenaan mencerminkan kepentingan menilai risiko keselamatan data yang berkaitan dengan penggunaan platform digital, khususnya apabila melibatkan maklumat peribadi dan pergerakan rakyat.


MyKad, MyDigital ID perkukuh identiti bersepadu


Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat.


Bagi tujuan itu, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad berperanan sebagai kredensial fizikal, manakala MyDigital ID digunakan bagi urusan digital.


Usaha tersebut turut disokong oleh perlindungan siber yang lebih ampuh, termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan menerusi penggunaan PQC.


Perlindungan NCII turut menjadi keutamaan dalam usaha memastikan sistem dan perkhidmatan penting negara lebih berdaya tahan terhadap ancaman siber.


Persediaan awal menghadapi perkembangan teknologi, termasuk AI autonomi dan komputer kuantum, penting bagi mengurangkan risiko terhadap sistem digital serta memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman baharu.


Menurut Anwar, usaha memperkukuh keselamatan siber perlu bergerak seiring dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam supaya manfaat teknologi dapat dinikmati rakyat tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.


Kerajaan akan terus memberikan perhatian terhadap pengukuhan ekosistem digital negara bagi memastikan keselamatan identiti, maklumat dan data rakyat sentiasa terpelihara.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page