top of page

Kelantan, T'ganu, Kedah, Perlis catat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read

Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan kadar penagihan serta penyalahgunaan dadah dan bahan tertinggi di negara ini berdasarkan statistik sehingga Jun 2026.


Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebanyak 130,307 kes penyalahgunaan dadah dan bahan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan, bersamaan kadar 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk.


Menurutnya, Terengganu mencatatkan kadar tertinggi iaitu 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646).


Statistik itu berdasarkan data bersepadu daripada empat sumber utama, iaitu AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP).


"Kedudukan empat negeri ini memberikan gambaran mengenai tahap penagihan dan penyalahgunaan dadah yang memerlukan perhatian serta intervensi berfokus.


"Faktor geografi, termasuk laluan penyeludupan rentas sempadan, turut dikenal pasti sebagai antara faktor risiko yang mempengaruhi masalah dadah di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, Ruslin berkata, AADK memberi tumpuan kepada pelaksanaan penguatkuasaan, program pencegahan dan pemerkasaan masyarakat di negeri berisiko tinggi, dengan menyasarkan tiga segmen utama iaitu institusi pendidikan, keluarga dan komuniti.


Beliau berkata, sebanyak 242 program pencegahan dan kesedaran awam telah dilaksanakan dengan penyertaan keseluruhan 16,408 orang.


Daripada jumlah itu, sebanyak 228 program dilaksanakan di Terengganu, Kelantan dan Kedah, dengan penyertaan lebih 16,000 peserta.


"Pelaksanaan ini memberikan penekanan kepada peningkatan kesedaran, penglibatan komuniti dan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah," ujarnya.


Dalam aspek penguatkuasaan pula, sebanyak 4,253 operasi dijalankan di seluruh negara sehingga 18 Oktober 2026, dengan seramai 30,157 orang ditahan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.


Ruslin berkata, AADK turut memberi keutamaan kepada pendekatan rawatan dan pemulihan secara sukarela bagi membantu individu yang terlibat mendapatkan bantuan sewajarnya.


Menurutnya, purata individu yang tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah meningkat daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang sebulan tahun ini.


"Peningkatan ini menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025," katanya.


Beliau berkata, AADK akan terus menggunakan pendekatan berasaskan data untuk mengenal pasti kawasan berisiko, menentukan keutamaan intervensi serta memperkukuh penyelarasan program pencegahan, rawatan dan pemulihan bersama agensi berkaitan.


Dalam masa sama, AADK komited memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang dipengerusikan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier.


"Usaha menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama pelbagai agensi serta penglibatan aktif keluarga, institusi pendidikan dan komuniti demi kesejahteraan masyarakat," katanya lagi.


Untuk ekod, keempat negeri yang mencatat penyalahgunaan dadah tertinggi tersebut adalah negeri SG4 yang diperintah pembangkang.


Kelantan, Terengganu dan Kedah diperintah Pas manakala Perlis dikuasai Bersatu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page