top of page

Kalah saman: Orang Melayu fikirkan semula cara Umno berpolitik, adu domba

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
3 hours ago
2 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail menggesa anggota Umno agar bermuhasabah dalam cara membawa isu kaum dan agama terutama selepas Ketua Pemuda Umno kalah dalam kes saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.


Katanya, kepimpinan Umno khususnya sayap pemuda perlu melakukan muhasabah yang jujur bagi menilai sama ada pendekatan politik sedemikian memberi manfaat kepada kaum Melayu ataupun hanya menang retorik tetapi kalah di mahkamah.


"Apakah manfaatnya kepada orang Melayu jika politik kita terus berlegar pada tuduhan, pertelingkahan dan usaha membangkitkan kemarahan terhadap kaum lain?


"Adakah kehidupan anak muda menjadi lebih baik? Adakah peluang pekerjaan bertambah? Adakah beban kos sara hidup keluarga Melayu semakin ringan? Adakah masalah pendidikan, perumahan dan masa depan generasi muda dapat diselesaikan?


"Orang Melayu memerlukan lebih daripada retorik. Mereka memerlukan dasar yang berkesan, peluang ekonomi, pendidikan berkualiti dan pemimpin yang benar-benar memahami kesusahan rakyat.


Mohammad Fitri Ismail
Mohammad Fitri Ismail

"Jangan sampai setiap kali kita gagal menawarkan penyelesaian, isu kaum dan agama dijadikan jalan mudah untuk mengalihkan perhatian rakyat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas mengenai kekalahan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam kes saman fitnah Teresa Kok yang berhubung isu pensijilan halal.


Muhammad Akmal diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Teresa.


Mengulas lanjut, Fitri menegaskan bahawa isu pensijilan halal tidak seharusnya dijadikan modal politik kerana isu tersebut merupakan perkara penting kepada umat Islam.


Beliau berkata, hak pengguna Muslim untuk memperoleh maklumat yang jelas dan boleh dipercayai mengenai status halal sesuatu produk perlu sentiasa dipelihara.


Ujarnya, sebarang isu berkaitan halal perlu ditangani berdasarkan fakta, peraturan yang ditetapkan serta penjelasan daripada pihak berkuasa.


"Jika terdapat pelanggaran, kemukakan bukti dan gunakan saluran undang-undang yang sewajarnya. Jangan biarkan isu yang sepatutnya diselesaikan secara profesional, bertukar menjadi bahan untuk mencetuskan permusuhan antara kaum.


"Jangan kerana seseorang itu bukan Islam, kita terus mencurigainya. Jangan kerana seseorang itu daripada DAP, kita menganggap setiap pandangannya sebagai ancaman kepada agama.


"Begitu juga jangan kerana seseorang itu daripada Umno, KEADILAN atau mana-mana parti lain, kita terus menganggapnya benar tanpa menilai fakta.


"Kebenaran tidak bergantung pada warna parti, dan keadilan tidak sepatutnya ditentukan oleh kaum atau agama seseorang," katanya lagi.


Dalam kenyataan sama, Fitri yang juga Ketua AMK Merbok menyimpulkan bahawa perjuangan mempertahankan Islam tidak seharusnya menjadi sebab untuk membuat tuduhan terhadap individu lain tanpa asas yang kukuh.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page