Serangan ke atas sukarelawan GSF jenayah antarabangsa, cabul konvensyen Geneva
- Suara Keadilan

- Oct 3
- 2 min read

Biro Komunikasi KEADILAN Selangor mengecam keras tindakan rejim zionis Israel yang menyerang serta menahan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), yang disertai oleh 34 sukarelawan Malaysia.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil (gambar) menegaskan serangan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak boleh diterima.
"Rakaman yang dikongsikan oleh anggota GSF menunjukkan kapal-kapal mereka diserang oleh kapal tentera laut Israel ketika mendekati perairan Gaza, serangan tersebut dilakukan menggunakan meriam air.
"Tentera Zionis juga menggunakan cecair kimia terhadap anggota GSF dalam usaha menawan kapal-kapal tersebut. Syukur kerana sehingga kini tiada laporan oleh mana-mana sumber yang boleh dipercayai melaporkan bahawa rakyat Malaysia tercedera dalam serangan tersebut," katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Fauzi, GSF tidak menjadi ancaman kepada mana-mana pihak kerana mereka hanya membawa bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan, bantuan perubatan dan keperluan asas lain kepada rakyat Gaza.
Manakala anggota sukarelawan, kata beliau, tidak melibatkan mana-mana anggota tentera kerana ahlinya hanya terdiri daripada aktivis, wakil NGO dan masyarakat dari pelbagai negara sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Oleh itu, tegas beliau, Israel melakukan penahanan haram atau penculikan terhadap anggota GSF.
"Israel telah melakukan penawanan haram ke atas GSF di perairan antarabangsa, perbuatan ini secara terang-terangan merupakan satu pelanggaran terhadap UNCLOS 1982, Geneva Convention 1949 dan prinsip asas International Humanitarian Law," katanya.
Sehubungan itu, KEADILAN Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap usaha diplomatik kerajaan untuk membebaskan segera semua aktivis yang ditahan.
Begtu juga, katanya, Kerajaan Madani sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan menggunakan saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera.
"Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk terus bersatu dan menzahirkan solidariti dalam menuntut keadilan. Tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh GSF, justeru kita wajib menuntut pembebasan segera dan menghentikan kezaliman rejim Zionis," kata Fauzi lagi.









Comments