top of page

Serangan Israel ke atas Beirut sabotaj rundingan damai AS-Iran

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Serangan terbaru Israel ke kawasan Beirut Selatan, Lebanon disifatkan sebagai usaha sabotaj yang disengajakan bagi menggagalkan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kini dilaporkan hampir dimuktamadkan.


Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Raja Kamarul Bahrin Shah berkata tindakan Israel itu membuktikan kegagalan Washington mengawal sekutunya walaupun Presiden AS, Donald Trump berulang kali memberi gambaran bahawa beliau mempunyai pengaruh terhadap tindakan Tel Aviv.


"Serangan yang menyasarkan kawasan Dahiyeh di Beirut Selatan ketika rundingan damai AS-Iran berada di peringkat akhir menunjukkan terdapat pihak yang berkepentingan untuk memastikan konflik di Asia Barat terus berlarutan.


"Pemindahan serangan pengeboman ke Beirut Selatan yang sebelum ini tertumpu di selatan Lebanon jelas merupakan usaha sengaja dan terang-terangan untuk mensabotaj serta meningkatkan konflik bagi menghalang perjanjian antara AS dan Iran daripada dicapai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Raja Kamarul Bahrin berkata Iran mempunyai alasan kukuh untuk bersikap skeptikal terhadap jaminan yang diberikan oleh Trump kerana perkembangan terkini membuktikan AS tidak mempunyai keupayaan politik yang mencukupi untuk mengekang tindakan agresif Israel.


Beliau mendakwa dunia kini dapat melihat pihak yang lebih cenderung kepada peperangan berterusan di Timur Tengah, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi global dan menimbulkan ketidaktentuan terhadap laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz.


Menurutnya, Trump yang sering menampilkan dirinya sebagai pakar rundingan sepatutnya terlebih dahulu memastikan Israel mematuhi usaha perdamaian sebelum mengumumkan sebarang kemajuan dalam rundingan dengan Iran.

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin

"Selagi AS tidak mempunyai kesungguhan politik untuk mengawal tindakan agresif Israel, janganlah memberi harapan palsu kepada dunia bahawa perjanjian damai dapat dicapai dalam masa terdekat," katanya.


Beliau turut mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah menyeret AS ke dalam konflik yang pada asalnya dianggap singkat tetapi kemudiannya berlarutan sehingga memberi kesan negatif kepada ekonomi dunia.


Sabtu lalu, Israel melancarkan serangan ke atas sasaran yang didakwa sebagai pusat operasi Hezbollah di Dahiyeh, Beirut Selatan selepas kumpulan itu melancarkan serangan roket ke wilayah utara Israel.


Perkembangan itu berlaku ketika Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa Washington dan Tehran telah mencapai persetujuan rangka kerja untuk menamatkan konflik dengan perjanjian rasmi dijangka ditandatangani dalam masa terdekat.


Draf perjanjian dilaporkan merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz, pelonggaran sekatan terhadap Iran serta rundingan lanjut berhubung program nuklear negara itu.


Iran turut memasukkan penamatan serangan ke atas semua barisan penentangan termasuk Lebanon sebagai salah satu syarat perjanjian damai.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page