Serang kewibawaan calon kerana usia muda tidak menguntungkan


Tindakan jahat yang sengaja memperlekeh kemampuan calon muda Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke -16 disifatkan sebagai tidak matang atau menguntungkan pihak yang melakukannya.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim (gambar) berkata, bentuk serangan yang meremehkan peribadi calon itu hanya akan membantutkan usaha melahirkan lebih ramai pemimpin muda dalam arena politik negara.
"Kita mengambil maklum beberapa serangan diterima oleh beberapa orang calon muda yang menarik perhatian masyarakat termasuk serangan berbentuk peribadi, merendah-rendahkankan dan sebagainya.
"Ini kita ambil sebagai satu sikap yang sebenarnya tidak produktif terutama sekali dalam kita membangunkan, meyakinkan dan memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin dalam masyarakat," katanya dipetik laporan media.
Adam Adli yang juga Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka itu menegaskan, PRN Melaka sepatutnya menjadi medan demokrasi kepada rakyat memilih kerajaan negeri berdasarkan pertimbangan masing-masing.
Generasi muda hari ini tambahnya mempunyai keupayaan untuk memimpin tanpa perlu menunggu sehingga mencapai usia tertentu.
"Sebab itu kita harap pengundi terutama pengundi muda di luar sana boleh ambil masa untuk menilai apa yang ditawarkan terutama sekali calon muda yang kita tawarkan dalam pilihan raya kali ini," jelasnya.
PRN Melaka kali ini turut menyaksikan dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, manakala 14 calon lagi berusia antara 30 hingga 39 tahun.
Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah yang mewakili PH muncul sebagai calon paling muda pada PRN kali ini.
Graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berusia 24 tahun itu diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.



Comments