Serang Iran: Kembali ke meja rundingan, elak konflik besar Asia Barat - PM
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 2 min read

Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap serangan berterusan ke atas Iran dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang bertentangan dengan prinsip tatanan dunia dan berpotensi menggugat kestabilan serantau khususnya di negara-negara Teluk.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai sebuah negara bebas dan merdeka menyeru supaya gencatan senjata berlaku tanpa syarat dengan serta-merta.
Anwar menegaskan, jika wujud asas pertikaian, ianya harus kembali ke meja rundingan secara konstruktif dan pada masa sama Malaysia mengutuk keras serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
"Kita berpandangan bahawa tindakan ketenteraan yang berterusan ke atas negara bebas dan merdeka (iaitu) Iran meskipun berbeza dasar dan sikap terhadap negara tersebut, (serangan) berkenaan bertentangan dengan prinsip yang disepakati oleh dunia.
"Tindakan ketenteraan yang berterusan itu tentunya berisiko malah telah bermula menyebabkan ketegangan, eskalasi lebih besar, menggugat kestabilan serantau terutama di negara-negara Teluk yang semuanya atau kebanyakan di heret dalam kancah peperangan akibat dari serangan yang dimulakan oleh Israel yang bersekongkol dengan AS," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, serangan terhadap Iran hari ini menyusuli insiden di Lubnan sebelum ini, di samping konflik di Iraq dan Syria serta pembantaian terhadap rakyat Palestin yang berterusan sehingga kini.
"Tatanan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kenyataan Setiausaha Agung, Antonio Guterres sebelum ini jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa, namun Israel salah satunya negara yang terus menerus melanggar ketetapan antarabangsa.
"Sebab itu kita tiada pilihan selain menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa tindakan ini adalah bertentangan dengan peraturan tatanan dunia dan harus dibantah dengan keras.
"Pilihan lain selain daripada perdamaian ialah untuk mendapatkan kerjasama negara-negara Teluk supaya kembali bersatu mengadakan rundingan mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau," ujarnya lagi.




Comments