Serang Iran: Israel makin menggila - Mohamad Sabu
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 2 min read

Serangan udara rejim Israel ke atas Iran semalam menunjukkan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin hilang kewarasan dan kemanusiaan.
Menurut Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, serangan semalam yang kononnya bagi mengelakkan Iran menghasilkan bom nuklear dalam tempoh terdekat merupakan alasan palsu dari Israel.
Katanya, serangan itu lebih untuk mempamerkan keunggulan tentera udara Israel menguasai langit di rantau Asia Barat.
"Tak cukup mengebom Gaza saban hari, tak cukup menodai Al-Aqsa setiap minggu, kini Israel melebarkan angkuhnya ke Tehran pula.
"Kononnya atas nama keselamatan. Kononnya ‘serangan pencegahan’. Tapi dunia tahu ini bukan soal pertahanan. Ini soal penyelewengan kuasa
"Israel semakin berlagak sebagai polis dunia, pendakwa, hakim dan algojo dalam satu badan," katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Mohamad turut membidas negara negara Arab yang tidak bertindak balas menentang negara Yahudi. Malah terdapat pula negara Arab yang terang terangan memintas dron Iran yang terbang di ruang udara mereka dalam misi melakukan serangan balas ke atas Israel.
"Dan dunia Arab? Masih pura-pura pekak, buta, bisu. Bila Iran bertindak mereka (adalah) ‘ancaman’. Bila Israel menyerang mereka ‘menjaga kestabilan’. Double standard yang menjijikkan.
"Parti Amanah Negara mengecam sekeras-kerasnya serangan pengecut ini. Ya – pengecut. Sebab hanya pengecut yang serang dari langit, bunuh dari jauh, tapi takut bila rakyat bersatu melawan kezaliman," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan kebodohan Israel menyerang Iran yang dianggarkan mempunyai lebih 1,000 peluru berpandu balistik antara benua dan boleh mengenai sasaran di Israel dengan mudah.
Selain itu, katanya, serangan yang mempamerkan keangkuhan Israel akan menyebabkan penentangan lebih hebat rakyat biasa, termasuk di negara sekutu rejim zionis itu di negara Barat terhadap negara haram Israel.
"Kepada rejim Zionis, kezaliman mungkin tampak gagah hari ini, tapi ingat angin perubahan tidak pernah berhenti. Semakin ramai umat manusia yang sedar siapa sebenarnya penjajah, siapa sebenarnya pengganas," ujarnya.
Mohamad juga memberi amaran kepada negara dunia lain, terutama di Timur tengah yang tidak ikut campur membela Iran. Katanya, tiada negara yang benar benar selamat berhadapan Zionisme yang licik dan tamak.
"Dan kepada dunia jangan tunggu sampai bom jatuh di atas kepala sendiri baru mahu bersuara.
"Keamanan tidak datang dari tunduk kepada penindas, ia datang bila kebenaran ditegakkan, walau berdepan kuasa sebesar mana pun," katanya lagi.
Untuk rekod, Iran melancarkan serangan balas hari ini ke atas bandar bandar besar Israel dengan melancarkan 200 peluru berpandu.
Iran juga mempunyai peluru berpandu hipersonik yang tidak boleh dipintas sistem pertahanan iron dome Israel.
Serangan pada malam tadi waktu Israel menyaksikan berbelas belas peluru berpandu Iran mengenai sasaran ketenteraan termasuk di bandar utama seperti Tel Aviv.
Kommentarer