Oleh: Abdullah Zaid
Sebanyak 59 badan bukan kerajaan (NGO) hadir menyerahkan memorandum di hadapan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Memorandum yang dianjurkan Kumpulan Rakyat Malaysia Yang Peduli dan Prihatin (KRMYPP) itu antara lain menjunjung ketegasan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menolak sebarang cubaan bagi mengalihkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
"Ura-ura komplot dan percubaan menjatuhkan Kerajaan yang sah dan mempunyai legitimasi ini ternyata menganggu keselesaan dan ketenteraman rakyat.
"Ia dapat dilihat sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat pasca PRU-15 dan suatu penghinaan terhadap keabsahan Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk atas perkenan YDPA dengan diteraju oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata memorandum itu.
Tambahnya, Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk sejak setahun lalu itu dilihat sedaya upaya melaksanakan tugas mengembalikan kestabilan sosiopolitik, pembaikan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat.
"Oleh yang demikian, sebarang usaha mengganggu gugat kestabilan perjalanan pentadbiran negara melalui jalan selain Pilihan Raya Umum yang diadakan selepas tamat tempoh pentadbiran Kerajaan, adalah tidak wajar, dan mesti dihentikan," kata KRMYPP.
Hakikatnya, kata badan pengerak itu, majoriti rakyat mahukan pentadbiran kerajaan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.
Namun, terdapat segelintir pihak yang masih belum puas melakukan sabotaj dan hal itu seolah olah suatu aksi penolakan terhadap perubahan kepada sistem yang lebih telus dan baik.
Tegas KRMYPP, tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah “politicking” oleh segelintir politikus, adalah suatu tindakan tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional.
"Jika perancangan “pintu-belakang” dan “tebuk-atap” ini berlaku, pastinya akan tercetus konflik berterusan yang menyebabkan kondisi sosio-politik negara terus terumbang-ambing dan tidak stabil.
"Malah, negara juga semakin bergoncang, seterusnya menjauhkan lagi kepercayaan rakyat dan komuniti global termasuk para pelabur, daripada kerajaan yang tidak dipercayai," ujar mereka.
Justeru sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, badan pengerak itu menggesa mekanisme perundangan diwujudkan bagi mengekalkan pentadbiran Kerajaan yang dipilih oleh rakyat sehingga tamat tempoh.
"Ia seperti penggubalan Akta Penggal Tetap Parlimen yang disesuaikan dengan merangkumi tindakan menghalang sebarang langkah menjejaskan demokrasi berparlimen dan kestabilan negara.
"Semua ahli Parlimen harus berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat dan negara serta wajib menjauhi sebarang cubaan berniat jahat menjatuhkan kerajaan yang sah," kata kenyataan itu lagi.
Antara NGO yang terlibat menandatangani memorandum berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dewan Keusahawanan dan Kejurulatihan Industri Malaysia (Mentic Chamber), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Majlis Belia Malaysia (MBM), Kumpulan G70 Profesor Melayu, Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia (GBSM), Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC Kebangsaan), Majlis Belia Felda Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (Otai Reformis), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) dan lain lain.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menerima memorandum tersebut daripada wakil KRMYPP di Seri Perdana, Putrajaya petang tadi.
Comments