Sepanggar wajar jadi keutamaan persempadanan semula - Mustapha


Parlimen Sepanggar mempunyai kira-kira 130,000 pengundi, sekali gus menjadikannya Parlimen dengan jumlah pengundi paling ramai di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, sekiranya berlaku penambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah, kawasan parlimen tersebut wajar diberi keutamaan dipecahkan kepada dua kawasan.
"Kalau kita mahu menambah parlimen di Sabah ini, semestinya Sepanggar mesti diutamakan.
"Jadi kita cadangkan untuk Sepanggar ini kita bahagi dua, mungkin satu Parlimen Sepanggar (contoh), mungkin yang kedua mungkin Parlimen Inanam," katanya dipetik laporan media.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penambahan wakil Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Keputusan itu jelasnya mengambil kira semangat asal MA63 yang memperuntukkan nisbah satu pertiga bagi Sabah, Sarawak dan Singapura, sebelum penyertaan Singapura berakhir pada 1965.
Sementara itu Mustapha menyifatkan langkah Kerajaan MADANI itu penting bagi memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak mendapat representasi yang sewajarnya di Parlimen.
"Itu yang dalam spirit-nya one-third lah, sebab kita mahu supaya apa-apa pun keputusan dasar yang dibuat di Parlimen mesti mendengar suara hati rakyat Sabah dan Sarawak.
"Jadi kita tidak mahu keputusan itu hanya sebelah pihak sahaja. Maknanya mungkin Semenanjung sahaja. Kita mahu supaya sebelum apa-apa keputusan besar dibuat untuk negara ini, ketiga-tiga wilayah ini mesti bersetuju bersama," jelasnya.
Sehubungan itu menurut Mustapha, beliau bakal mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan proses serta tempoh masa yang diperlukan untuk meningkatkan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
"Saya tidak mahu perkara ini hanya peringkat dasar, tidak ada pelaksanaan. Tugas saya sebagai Menteri yang bertanggungjawab, pastikan dasar ini dapat dilaksanakan," tambahnya.




Comments