'Seorang ibu tua, jaga 50 anak yatim'
- Redzuan Shamsudin
- Dec 1, 2021
- 2 min read

Badannya sudah lemah, tapi punyai keazaman umpama besi dan berhati emas. Begitulah ungkapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew terhadap Ummi yang mengasaskan rumah anak-anak yatim selepas bersara 12 tahun lalu.
Menurut Dr Tan, Ummi (nama gelaran) memulakan pusat jagaan anak yatim dengan 8 orang anak dan kemudiannya bertambah menjadi 50 orang ketika ini.
"Rumah anak-anak yatim dan asnaf ataupun ‘Teratak Ummi’ ini hanya didanai melalui sumbangan orang ramai sebelum pandemik Covid-19 melanda.
"Kini, mereka tidak cukup wang membayar sewa, utiliti dan makanan. Van untuk mengangkut anak-anak ini ke sekolah pula memerlukan baik pulih kerosakan dan cukai jalan juga perlu diperbaharui.
"Sewaktu Datuk Ghazali, pengerusi MPM (Majlis Perwakilan Masyarakat) sub zon 9 membawa kesnya kepada saya, saya memutuskan untuk melawat ke sana, dengan membawa cek RM5,000 dan satu karton buah epal untuk anak-anak itu," katanya.
Dalam kunjungan itu, Ummi memberitahu, pakar kulit terkenal Dr Ko kerap melawat mereka dan memberikan rawatan percuma kepada anak-anak yatim dan sering pula menyumbangkan sayur-sayuran segar kepada mereka.
"Ummi berkata, beliau telah tua sekarang dan sukar menguruskan rumah ini, lebih-lebih lagi sumbangan orang ramai semakin berkurangan.
"Katanya, beliau mahu berputus asa tetapi anak-anak itu letakkan kepala mereka diriba dan menangis merayu jangan tinggalkan mereka.
"Jadi, Ummi teruskan berjuang," ujar Dr Tan.
Tambahnya, dunia menjadi lebih bermakna dengan adanya orang seperti Ummi dan ramai penderma yang baik hati.
"Saya percaya setiap orang daripada kita mempunyai kapasiti melakukan sesuatu yang baik untuk dunia ini menjadi tempat yang lebih baik untuk semua.
"Ummi memberitahu saya, dia akan memohon sedikit dana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana orang ramai sudah dibenarkan bergerak lebih bebas. Saya harap permohonannya akan diluluskan kelak," katanya.
Bagi yang memunyai lebihan rezeki, Dr Tan menyeru untuk menderma kepada Ummi dan anak yatim jagaannya dengan menyumbang kepada akaun: 1643 4233 2053, Maybank. Nama penerima: Fatimah Binti Husin
Comments