Sentimen pengundi berubah, PH mampu rampas Bukit Kepong dari PN
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Kepong, C Subramani, yakin mampu merampas kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor.
Keyakinan tersebut dinyatakan beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh, Muar pada Sabtu.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Pagoh itu, keyakinan bersandarkan rekod perkhidmatannya di kawasan tersebut selama tiga penggal, selain telah menjalin hubungan rapat dengan penduduk setempat.
Malah gerak kerja di peringkat akar umbi selama sembilan tahun boleh mengimbangi kekuatan penyandang kerusi itu, Dr Sahruddin Jamal daripada PN.
Pada PRN ini, Subramani akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Syarie Yusof dan Dr Sahruddin Jamal yang juga penyandang kerusi berkenaan.
Sementara itu menurutnya, sekiranya diberi mandat beliau akan memfokuskan isu asas penduduk, termasuk lampu jalan, pembangunan pusat pelancongan, peluang pekerjaan dan perumahan mampu milik.
"Kawasan gelap, ada tempat langsung tiada lampu. Peluang pekerjaan pun kurang kerana tiada perindustrian. Rumah mampu milik juga hampir tiada," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran melihat PH mempunyai peluang bagi memenangi kerusi DUN Bukit Kepong berdasarkan sentimen pengundi yang kini lebih mempercayai pentadbiran gabungan itu terutama di peringkat Persekutuan.
"Majoriti PN sebelum ini tidak besar, dengan kira-kira 700 undi. Kali ini sentimen pengundi berbeza sekali gus membuka ruang kepada PH untuk memberi saingan sengit," katanya.




Comments