Seni, budaya mampu jadi pemangkin satukan rakyat – Dr Wan Azizah
- Suara Keadilan
- 14 minutes ago
- 1 min read

Seni dan budaya berperanan penting sebagai jambatan penghubung semua lapisan masyarakat selain menjadi nadi pembinaan tamadun.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seni dan budaya tidak boleh dilihat sekadar lambang kreativiti dan estetika, sebaliknya sebagai tonggak nilai, jati diri serta penyatuan rakyat.
"Apabila seni dan budaya dibawa ke peringkat komuniti, kita sebenarnya menyuburkan semangat patriotisme yang diperlukan dalam dunia mencabar ini," kata isteri kepada Perdana Menteri itu dipetik.
Dr Wan Azizah berkata begitu ketika merasmikan Program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya@Komuniti Bandar Tun Razak dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Padang Flat Sri Johor pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Salmiyah Ahmad
Pada acara itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk jualan Agro MADANI dan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, berpantun, gotong-royong memasak, sukan, kenduri rakyat, bengkel seni bela diri serta pertandingan tarian kreatif.
Sementara itu menerusi ucapan sama Dr Wan Azizah menitipkan pesan kepada golongan muda supaya mengisi masa dengan aktiviti berfaedah selain menjauhi gejala negatif seperti ketagihan dadah, buli, lumba haram.
"Saya mahu warga Bandar Tun Razak khususnya anak-anak muda, mengisi masa dengan aktiviti berfaedah dan jauh daripada perbuatan sumbang atau negatif yang boleh membawa kesan tidak baik," katanya.