Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjanji kerja membaik pulih sekolah daif akan dilaksana secara adil dan saksama.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wakil Sekolah Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Alor Setar, Fadhlina berkata bagi tujuan itu kementerian sudah mempunyai data dan maklumat terperinci berkaitan sekolah-sekolah yang memerlukan pembaikan segera.
"Kita memang sudah ada senarai itu (sekolah daif) di setiap negeri, malah kita sudah ada maklumat secara spesifik sebenarnya sekolah-sekolah daif yang berada pada skala enam dan tujuh. Kemudian dari segi penempatan dan bagaimana kita nak menguruskan itu semua sudah ada," katanya.
Beliau sebelumnya diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu yang berkata pentadbirannya akan segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan negara.
"Apabila sudah ada jaminan begitu, saya rasa lebih mudah untuk kita melaksanakan pembangunan kerana penting untuk kita pastikan soal keselamatan kanak-kanak di sekolah, akses pendidikan yang berkualiti dan fasiliti ini mesti selamat untuk kanak-kanak berada di sekolah," tambah Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN.
Mengulas lanjut projek pembangunan tersebut beliau turut menjelaskan ia akan dilaksana secara berfasa dan fasa yang paling penting adalah selepas Bajet 2023 dibentangkan pada 24 Feb ini.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tekad menyelesaikan masalah sekolah daif merupakan antara aspirasi di bawah tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah pentadbirannya.
Comments