top of page

AMANAH gesa MB Ismail mohon pembubaran DUN Negeri Sembilan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
41 minutes ago
2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyelesaikan kemelut politik yang semakin meruncing di negeri itu.


Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata, perkembangan terbaharu membabitkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Istana menunjukkan pergolakan politik di Negeri Sembilan telah mencapai tahap yang serius.


Gesaan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta pada 20 September.


Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, pembatalan itu dibuat selepas semua Exco terbabit didapati memungkiri sumpah jawatan masing-masing.


Faiz berkata, AMANAH tidak mahu mencampuri kemelut berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar kerana perkara itu perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.


Namun, katanya, pergolakan politik yang berlaku kini memerlukan penyelesaian bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terus terjejas.


"AMANAH mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan untuk memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan memandangkan pertembungan antara Eksekutif dan Istana adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959," katanya dalam kenyataan hari ini.


Faiz mendakwa kemelut tersebut mempunyai kaitan dengan perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, termasuk isu Surat Cara Proklamasi yang menurutnya ditandatangani Menteri Besar selepas pilihanraya berkenaan.


Ismail sebelum ini mengakui menandatangani dokumen berkenaan tetapi berkata ia dilakukan secara paksaan, selain mendakwa dokumen itu tidak mematuhi proses dan tatacara di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959.


Pada 17 September, Jabatan Peguam Negara (AGC) pula menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 mengenai kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959. AGC turut menyatakan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.


Sehubungan itu, kata Faiz, AMANAH berpandangan tindakan politik yang didakwa cuba menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu dilihat secara serius.


"AMANAH berpendirian bahawa Umno gagal untuk menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah-langkah menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah satu tindakan coup d'état (rampasan kuasa)," katanya.


Beliau mendakwa perkembangan tersebut bertentangan dengan kehendak rakyat Negeri Sembilan yang menurutnya tidak memberikan mandat kepada mana-mana pihak untuk mengganggu kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar melalui PRN lalu.


Dalam pada itu, Faiz juga berkata AMANAH bimbang pergolakan yang berpanjangan boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri.


"AMANAH percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh Umno ini boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page