Kemelut N Sembilan: Rakyat mahu kerajaan stabil, selesaikan krisis secara adat


Kemelut takhta di Negeri Sembilan sejak awal tidak wajar dicampuri oleh Kerajaan Negeri BN-PN.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha, Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz tidak akan mengambil tindakan melucutkan jawatan Exco Negeri Sembilan sekiranya ahli politik tidak terlebih dahulu mencampuri urusan adat.
Sebaliknya, kata beliau, keadaan pada waktu ini bertambah rumit apabila Yang di-Pertuan Besar menggunakan kuasa di bawah Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi memecat Exco, hingga pentadbiran negeri berada dalam keadaan terumbang ambing.
"Hal ini perlu diselesaikan oleh pemimpin adat. Orang politik jangan masuk campur kecuali hanya (bertindak) sebagai pemudah cara.
"Nampaknya keadaan semakin memburukkan bukan semakin baik. Kerajaan (pula) tidak stabil, fokus (untuk) membangunkan negeri dan ekonomi (turut) terjejas. Kesannya kepada rakyat juga," kata Jufitri kepada Suara Keadilan petang ini.
Selain itu ujar beliau, berdasarkan perkembangan semasa pihak ketiga yang berkecuali perlu dilibatkan bagi merungkai kemelut yang semakin membimbangkan.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Rembau berkata, Kerajaan Negeri perlu jadi pemudah cara untuk menyelesaikan kebuntuan yang sedang melanda, dan bukannya menjadi sebahagian daripada pencetus masalah.
Katanya, rakyat pada bulan lalu mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) untuk kemakmuran ekonomi sebagaimana janji manifesto BN-PN. Bukannya mahu menyaksikan kerajaan terlibat dalam konflik menurunkan takhta, yang tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka.
"Rakyat memilih (mengundi) untuk kestabilan bagi memastikan kemakmuran ekonomi, namun berlaku sebaliknya (selepas PRN).
"Sepatutnya PRN tidak perlu diadakan (jika ini akibatnya) kerana ia sepatutnya diselesaikan di peringkat dalaman dalam pentadbiran (PH) yang lepas," ujarnya lagi.
Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Exco negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, malam tadi, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.




Comments