top of page

Senarai calon PH bertanding PRN Melaka dimuktamad sehari dua lagi

Updated: Nov 2, 2021


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui nama-nama calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih dalam proses saringan, tetapi nama calon akan dimuktamadkan dalam sehari dua akan datang.


Ketika bercakap di hadapan kesemua jentera PH Melaka secara maya, perbincangan mengenai calon masih dalam pertimbangan.


"Saya sendiri bincang dengan pimpinan tetapi calon belum dimuktamadkan, proses saringan dibuat dari peringkat cabang, MPN, JPRN, JPRP sampailah ke peringkat pusat.


"Kalau terlambat sangat tak boleh, awal sangat pun tak boleh, kalau awal sangat, musuh tahu taktik kita, kalau lambat sangat ada satu dua hari lagi selepas pengumuman dibuat.


"Jadi saya minta reaksi, ada juga saya melihat orang berpengalaman yang bersabar dan terlibat kerja-kerja sepatutnya jadi calon tetapi terlepas, tetapi di peringkat kemudian maju dan sukses.


"Ada yang keluar awal dan menyesal kemudian, setelah melihat kemaraan kita, tetapi bila masuk kemudian sudah terlambat," katanya.


Bagaimanapun, beliau mengakui bukan mudah untuk menyenaraikan calon PRN Melaka kerana enggan peristiwa pengkhianatan berulang.


"Tiap kali pilihan raya, ada yang kesal, ada yang tidak berkawan dengan saya, tetapi kena tahu, betapa kuat pun pandangan masing-masing, betapa hebatnya prestasi masing-masing, ada proses penilaian, komitmen parti, adab berjemaah, disiplin dan keupayaan winnability untuk memenangi kawasan.


"Adakah keputusan kita baik belaka? Saya tak boleh jamin, kerana daripada ratusan calon yang kita luluskan dalam pilihan raya, ada juga pengkhianatan, saya sedikit sebanyak pikul tanggungjawab itu, saya tak tahu 10 tahun atau 5 tahun kemudian dia nak khianat.


"Mungkin kena pilih seorang nujum pak belalang untuk tentukan bahawa orang itu tidak khianat, tapi ini keterbatasan yang ada pada kita.


"Dalam semua parti politik negara dari zaman Umno, presidennya keluar, PAS presidennya keluar, kita presiden sahaja belum keluar, timbalan ke bawah keluar habis, kemudian DAP, setiausaha agung pertamanya juga keluar, jadi masing-masing ada pengalaman sedemikian.


"Juga KEADILAN dalam episod pengkhianatan Langkah Sheraton, memang menyakitkan dan membebankan. Sebab itu, saudara harus sabar, guna kebijaksanaan untuk beri pandangan tapi keputusan kita akan muktamadkan satu dua hari ini," katanya.


Selain itu, beliau berkata, kedudukan dua bekas ADUN Umno juga masih dalam perbincangan, sama ada boleh diterima untuk menjadi calon PRN Melaka.


"Ada juga perbincangan panjang untuk memuktamadkan keputusan itu. Walaupun dipertikai, tetapi kena faham, bahawa perubahan harus berlaku bukan dengan sikap keras kita, ia berlaku dengan hemah, kebijaksanaan dan hikmah untuk menarik hubungan dengan semua pihak.


"DAP parti yang lama, KEADILAN dalam 22-23 tahun, Amanah juga parti pimpinan lama dari PAS, masing masing ada pengalaman. Kita harus terima dan hormat pandangan, bukan sahaja pimpinan parti tapi juga luar parti, semua faktor diterima. Bukan sekadar keputusan parti tapi juga keputusan melibatkan pengundi dan sentimen rakyat.


"Namun, fakta harus jelas bahawa ada rundingan di antara pimpinan PH Melaka dengan ADUN berkenaan dan rundingan itu menyebabkan mereka memilih untuk menarik sokongan kerajaan dengan persefahaman bahawa mereka tidak akan dikhianati dan ditinggalkan selepas itu.


"Sebab itu ada beberapa pertimbangan yang kita lakukan dalam perbincangan walaupun sebahagian rakan kita mengambil sikap agak tegas, menolak mereka. Tapi ini perkara biasa dan kita akan memuktamadkan. Walaupun berbeda pendapat, tetapi harus teruskan maju," katanya.


Anwar yang juga Presiden KEADILAN turut menyifatkan adalah wajar lambang PH digunakan berbanding lambang parti lain.


"Ada pelbagai pandangan, tapi harus faham bahawa pilihan parti adalah logo KEADILAN, tapi dalam adab berjemaah, dalam PH, maka kita mengambil pandangan semua, konsensus pimpinan termasuk saya adalah untuk menerima logo PH.


"Memang dalam parti saya sendiri, ada pandangan keras terhadap logo. Saya juga dapat mesej yang tebal, bahawa patut ada presiden baru yang tegas dan wibawa, tidak sangat lemah dan tunduk kepada tekanan orang lain.


"Saya terima sahaja pandangan begitu, tetapi saya menyatakan kita harus ada dalam satu kumpulan mewakili satu wadah besar dalam perjuangan," katanya.


Justeru, Anwar meminta PH Melaka supaya bangkit dan menimbulkan kesedaran kepada rakyat serta bekerja sebagai satu pasukan.


Belaiu yakin PH akan menempa sejarah dalam PRN Melaka dan mengangkat kemnbali kehebatan negeri itu. Bagaimanapun Anwar menegaskan Melaka mempunyai sifat kosmopolitan, kepelbagaiannya, kerencaman budaya serta kegiatan ekonominya yang perlu diambil kira dalam strategi pilihan raya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page