Hari Malaysia disambut dengan pelbagai cara. Di Setapak warga kota Kuala Lumpur menyambutnya dengan aktiviti senamrobik di Taman Tasik Danau Kota, semalam.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa maju, Andre Lai Chen Heng, program bertemakan Senamrobik Malaysia Madani itu diikhtiarkan oleh beliau selaku Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Lumpur.
Katanya, inisiatif itu bagi mencari titik persamaan antara komuniti, melalui cara yang berbeza, iaitu dengan senamrobik berkumpulan tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
"Aktiviti ini selaras dengan sambutan Hari Malaysia yang menekankan perpaduan sebagai intipati utama Malaysia Madani
"DBKL melakukan kerja yang baik dengan 12 taman tasik dan pasukan KULFiT yang profesional.
"Namun, saya percaya ia lebih efektif sekiranya melibatkan kumpulan senamrobik atau zumba dari kawasan setempat agar merapatkan komuniti dengan DBKL yang selama ini amat membantu," katanya yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan.
Salah seorang wakil kumpulan senamrobik yang dimaksudkan beliau adalah Puan Jessie Chiew yang mengendalikan pasukan tarian yang bergelar SetapakC9.
Beliau juga seorang pengendali kumpulan pempengaruh media sosial dan sering menjalankan aktiviti berkenaan di taman-taman rekreasi sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, konsep senamrobik bertema Hari Malaysia memberi satu tarikan baharu untuk masyarakat memanfaatkan taman tersebut.
Seorang lagi peserta, Puan Kalai pula berkata, rutin tarian yang dilakukan di taman itu adalah profesional dan mampu menjaga kesihatan peserta jika diamalkan selalu.
"Sambil menari, kami boleh bersenam. Amat seronok apabila kami menjalankan aktiviti beramai-ramai bersama", kata Kalai yang berasal dari Desa Setapak.
Program senamrobik itu bermula pada 7 pagi dan berjaya menarik seramai 400 pengunjung turut serta. Selain daripada Setapak C9 sendiri, program ini menawarkan senam tarian dari JH Line Dance dan pempengaruh terkemuka, Adza Sisters.
Selain itu, terdapat juga acara cabutan bertuah sebanyak 100 set hadiah daripada penaja peribadi sepeti Jia Kopitiam dan dari Andre Lai sendiri.
Commentaires