
Perayaan Hari Natal yang bakal disambut beberapa hari lagi didahului dengan pelbagai aktiviti oleh penganut Kristian dalam persediaan menyambutnya.
Krismas pada tahun ini juga dijangka lebih meriah kerana rakyat tidak lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan
Merayai kebebasan itu, baru baru ini seramai 120 pengamal senamrobik telah berkumpul di dataran Tasik Danau Kota untuk menjalankan aktiviti senaman pagi bertema Krismas.
Program yang dianjurkan oleh tenaga pengajar senamrobik, Jessie Chiew di Tasik Danau Kota itu bermula dengan tarian aerobic, diikuti nyanyian lagu Krismas dan pengagihan hadiah cenderamata kepada pengunjung.
"Seringkali, program perayaan Krismas melibatkan kenduri besar-besaran. Sebaliknya, program kali ini menggalakkan orang ramai mengamalkan cara hidup yang lebih sihat. Ia adalah satu aktiviti spontan tapi amat bermakna. Saya berterima kasih kepada para peserta yang banyak berusaha”, kata Jessie.
Kemuncak program adalah pengagihan hadiah Krismas. Andre Lai, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju dijemput menjadi tetamu dan penyampai hadiah kepada tenaga pengajar senamrobik yang selama ini telah mengajar secara suka rela.

"Dalam konteks KEADILAN Untuk Semua, saya sering menekan agar perayaan dapat dirai bersama. Hari ini saya dapat lihat peserta berbilang bangsa yang turut serta dalam program ini, sebagai sebahagian daripada komuniti Setapak. Ia seperti kita membuat ‘carolling’ tetapi kita buat di tapak terbuka dengan pengunjung awam”, katanya yang memuji inisiatif berkenaan.
Manakkala salah seorang peserta Pn Fatimah menganggap program itu bermakna kerana ia dianjurkan atas semangat Muhibbah.
"Saya merupakan penduduk setempat dan program ini membuktikan perbezaan latar belakang tidak menjadi kekangan untuk rakyat dapat bergaul bersama. Satu inisiatif komuniti yang amat baik dan wajar diteruskan," katanya.
Selain kehadiran Santa Klaus dan pemberian cenderahati para peserta juga dihiburkan oleh penyanyi jemputan Wang Lin Yi Hai dan Angie Ng dengan lagu klasik Mandarin dan Krismas. Program bermula seawal 7 pagi dan berakhir pada 10.15 pagi.
Untuk rekod, Tasik Danau Kota dibuka pada 2019 berikutan gesaan mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew untuk mewujudkan sebuah kawasan riadah bagi penduduk Wangsa Maju dan sekitar. Pembangunan yang pesat di Genting Kelang menjadikan taman tersebut satu-satunya tapak kepada pengamal senamrobik di tapak terbuka.