Semua sekolah terlibat banjir sudah beroperasi hari ini
- Suara Keadilan
- Jan 2, 2024
- 2 min read

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terjejas akibat banjir serta yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi seperti biasa bermula hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberitahu pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi memastikan sekolah boleh beroperasi seperti biasa seperti memindahkan stok atau lebihan perabot dan buku teks ke sekolah yang memerlukan.
"PPD dan JPN sedang mengumpulkan anggaran kerosakan yang dialami oleh institusi pendidikan di bawah KPM yang terlibat dengan banjir.
"Laporan awal yang diterima, anggaran kerosakan akibat banjir kali ini melebihi RM1 juta yang melibatkan kerosakan perabot, pagar dan fizikal bangunan di negeri terlibat banjir, serta aset yang tidak boleh dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya dipetik dari Bernama.
Fadhlina berkata berkata sepanjang tempoh dari 11 November lalu sehingga semalam, sejumlah 133 sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan sebuah pusat Permata di Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah, Sarawak, Johor dan Perak terlibat dengan bencana banjir Monsun Timur Laut.
Katanya sebanyak 207 institusi pendidikan di bawah KPM di 10 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Sabah telah dijadikan PPS iaitu 173 sekolah rendah, 33 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.
Fadhlina memberitahu setakat pukul 4 petang semalam, sebanyak sembilan sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kelantan, Pahang dan Sarawak masih terlibat banjir.
Pada masa ini, katanya satu sekolah rendah masing-masing di Kelantan dan Pahang masih dijadikan PPS.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata kementerian turut menyediakan bantuan kepada institusi, guru dan warganya yang terjejas dengan banjir seperti dalam kes murid yang dilaporkan lemas di Kelantan apabila tuntutan takaful sebanyak RM5,500 seorang diberikan kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata sekolah-sekolah yang terkesan banjir dan dijadikan PPS akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn, selain sukarelawan daripada KPM telah turun ke sekolah bagi membantu kerja-kerja pembersihan.
Comments