Semua sekolah diarah tingkat aspek keselamatan murid - KPM
- Azuan Ab Rahman

- 2 days ago
- 1 min read

Semua sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) diarah mempertingkatkan aspek keselamatan murid susulan kejadian terbaru melibatkan seorang pelajar perempuan Tahun 2 dilanggar van di hadapan sekolah di Johor.
Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, insiden itu menjadi isyarat jelas langkah keselamatan sedia ada perlu diperkukuh bagi melindungi murid, guru dan warga sekolah.
"Semua sekolah diminta memastikan pematuhan terhadap Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang berkuat kuasa ketika ini.
"Pada masa sama, garis panduan baharu sedang dimuktamadkan dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan," kata kenyataan tersebut.
Dalam masa sama KPM memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan pandangan pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara bagi menambah baik tatacara keselamatan, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan di kawasan sekolah.
"KPM prihatin terhadap insiden yang berlaku dan komited memastikan persekitaran sekolah kekal selamat.
"Semua pentadbir sekolah diminta mengingatkan warganya mengenai aspek keselamatan, termasuk pengendalian dan pergerakan kenderaan dalam kawasan sekolah," kata kenyataan itu.
Media pada Selasa melaporkan seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pagar sebuah sekolah rendah di Parit Sulong, Batu Pahat.




Comments