Semua pihak fahami Rancangan Selangor Kedua - Amirudin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berharap program jelajah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dapat digerakkan dalam masa terdekat bagi memastikan pemahaman menyeluruh dalam kalangan semua pihak.
Beliau berkata, siri jelajah tersebut penting supaya rancangan kerajaan negeri dapat difahami dengan jelas, sekali gus membolehkan kerjasama menyeluruh bagi memastikan pelan pembangunan lima tahun yang dijangka mencipta nilai ekonomi sehingga RM500 bilion itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Tahun ini, pentadbiran dan seluruh pasukan akan membentangkan RS-2. Ini bukan program Amirudin, bukan program Setiausaha Negeri, Exco atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Jika ahli majlis atau ketua kampung tidak memahami RS-2, saya percaya program ini tetap berjalan, tetapi ia tidak akan menjadi unsur penyatuan atau membangkitkan kesepakatan dalam kalangan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Shah Alam, semalam.
Rancangan Selangor Kedua (RS-2) merupakan pelan strategik pembangunan negeri Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ia dirangka sebagai hala tuju pembangunan jangka sederhana merangkumi aspek ekonomi, infrastruktur, mobiliti serta kesejahteraan rakyat, dengan mengambil kira pengalaman dan kerangka pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Minggu lalu, Amirudin turut menegaskan bahawa RS-2 akan mengekalkan kesinambungan kerjasama kerajaan dan sektor swasta (PPP) bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lancar, berimpak tinggi, mampan dan inklusif.









Comments