Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia menekankan kebersamaan semua negara dalam memainkan peranan lebih aktif berkaitan kerjasama dana hijau, insentif, fasiliti teknologi dan infrastruktur untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (AZEC) bersempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Tokyo hari ini.
Beliau berkata Malaysia menghargai peranan Jepun dalam menyediakan platform berkenaan bagi perbincangan dan persediaan dalam melaksanakan peralihan tenaga.
"Saya singgung kepentingan pemuliharaan dan pemugaran alam sekitar dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon sekali gus mampu mencapai Pelepasan Karbon Sifar menjelang 2050," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia juga percaya peralihan tenaga seharusnya saksama, inklusif dan adil dengan tindakan ke arah kemajuan merangkumi model kolaborasi dan kerjasama yang progresif.
"Oleh itu, Malaysia akan mengalu-alukan sokongan dan kerjasama berterusan Jepun, Australia dan lain-lain memandangkan kita berusaha untuk mempercepat perjalanan peralihan tenaga kita," katanya.
Beliau berkata Malaysia yakin AZEC akan berfungsi sebagai platform bagi tempoh yang panjang dalam menggalakkan kerjasama yang saling memberi manfaat bersama dalam peralihan tenaga terutamanya di rantau ini.
"Malaysia akan terus mengutamakan penyelesaian praktikal yang memacu kemajuan, mengimbangi cita-cita berkaitan iklim, kelestarian dan pertumbuhan ekonomi.
"Kerajaan (di bawah pentadbiran) saya pada Ogos lalu telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia yang antara lain lainnya turut menggariskan inisiatif di bawah AZEC," katanya sambil memuji inisiatif AZEC yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Fumio Kishida.
Perdana Menteri berkata AZEC secara sebulat suara turut meluluskan Kenyataan Bersama AZEC sebagai afirmasi dan kesediaan negara anggota melaksanakan peralihan tenaga secara tuntas.
* Kredit foto: Sadiq Asyraf/PMO
Σχόλια