Semua mangsa kebakaran di Lembah Pantai akan dibantu - Fahmi
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Setiap keluarga terbabit kebakaran memusnahkan 14 rumah setinggan dan beberapa premis perniagaan di Lembah Pantai akan diberi perhatian dan bantuan segera.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan komitmen itu selepas meluangkan masa hampir sejam meninjau lokasi kejadian dan hadir menyantuni mangsa yang ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi.
"Saya menziarahi mangsa di Pusat Pemindahan Sementara dan mendengar sendiri luahan mereka. Pejabat Parlimen Lembah Pantai akan memastikan setiap keluarga menerima bantuan segera.
"Terima kasih kepada semua pasukan penyelamat dan agensi yang bertindak pantas," katanya ringkas menerusi satu hantaran di Facebook.
Memetik sumber lain, Fahmi berkata pihaknya sedang mengatur beberapa sesi pertemuan melibatkan mangsa serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau bercadang memindahkan penduduk terjejas ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan supaya sekurang-kurangnya mangsa mendiami kediaman lebih selesa dalam tempoh pembinaan semula.
"Untuk kedai dan premis perniagaan yang terkesan, saya akan adakan pertemuan dengan pihak DBKL bersama dengan tuan tanah dan pengusaha kedai-kedai termasuk beberapa pihak lain untuk kita teliti langkah berikutnya," jelasnya.
Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan berkeluasan anggaran 0.074 hektar serta premis kedai dengan keluasan 0.223 hektar.
Antara yang terjejas termasuk Pasaraya Karnival terbakar sebanyak 100 peratus, serta tingkat bawah Mydin Mart mengalami kemusnahan sebanyak 20 peratus. Tiga buah kedai lain yang bersebelahan turut terjejas dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90 peratus setiap satu.