Sempadan semula DUN Sarawak perlu adil, wakili semua kaum
- Suara Keadilan

- Jul 9
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
KEADILAN Sarawak mahu semua pihak pemegang taruh dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dalam memastikan persempadanan semula dan pembentukan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dapat dilakukan dengan adil.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Roland Engan (gambar) berkata langkah itu bagi memastikan keseluruhan 99 kerusi DUN Sarawak mewakili semua kaum dan agama mengikut nisbah populasi dan komposisi kaum, agama dan daerah.
"Proses persempadanan dan pembentukan 17 kerusi baru tersebut tidak patut dijayakan semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik sesetengah parti politik sahaja.
"Ambil contoh, majoriti rakyat Sarawak ialah Dayak (Iban, Bidayuh dan Orang Ulu), diikuti oleh Cina, Melayu dan Melanau. Maka persempadanan dan pembentukan 17 kerusi tersebut mesti mengambil kira faktor tersebut," katanya dalam kenyataan.

Kelmarin laporan media menyebut DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) DUN Sarawak (Komposisi Keanggotaan) 2025 selepas bacaan ketiga untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN kepada 99 berbanding 82 sebelum ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar mengumumkan kelulusan RUU itu selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.
Difahamkan, kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya ialah pada 2016 membabitkan pertambahan 11 kerusi DUN. Tempoh lapan tahun bagi persempadanan semula di Sarawak berakhir tahun lalu.
Roland berkata, faktor lain seperti keperluan pembangunan dan jumlah penduduk sesuatu tempat perlu diambil kira tetapi tidak patut menjadi faktor muktamad yang mengatasi faktor nisbah populasi kaum dan agama.
Kata beliau kawasan pedalaman Sarawak yang mundur mesti mendapat pertambahan kerusi meskipun penduduk semakin kurang akibat migrasi ke kawasan bandar.
"Pentadbiran Kerajaan Sarawak perlu menyusun semula kawasan pedalaman khususnya Limbang, Miri, Bintulu, Sibu dan Kapit untuk mewujudkan bahagian dan daerah yang baru bagi memastikan kelancaran proses membuat keputusan dan perlaksanaan pembangunan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memahami bantahan dan alasan bantahan dua ADUN DAP-Pakatan Harapan terhadap rang undang-undang tersebut.
"Mereka menekankan pada khidmat efesien ADUN dan persempadanan yang adil, bukannya menguntungkan sesetengah parti politik sahaja. Saya menghargai suara alternatif DAP-PH dalam DUN Sarawak," ujarnya.









Comments