Pas Selangor diam membisu Azmin Ali hentam pemimpin tinggi parti?
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Penerangan KEADILAN Selangor mempersoalkan pendirian pimpinan Pas negeri itu susulan kenyataan yang dilontarkan oleh pemimpin Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali didakwa ditujukan kepada Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Khairil Izzat Nordin (gambar) berkata, pihaknya memandang serius ucapan Azmin yang menyindir pemimpin tertinggi Pas dan ingin penjelasan terbuka daripada pimpinan Pas Selangor.
"Penerangan KEADILAN Selangor ingin bertanya, apakah pendirian pimpinan Pas Selangor terhadap kenyataan tersebut?" tanya Khairil dalam kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan sikap berdiam diri beberapa pemimpin utama Pas Selangor termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Halim Tamuri dan Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Shafie Ngah yang masih belum mengeluarkan kenyataan.
"Di saat beberapa pimpinan Pas sudah bertindak menempelak Datuk Seri Azmin, mengapa pimpinan utama Pas Selangor tidak menyatakan pendirian sebenar mereka?" katanya.
Menurut Khairil Izzat, dalam politik, perbezaan pandangan adalah perkara biasa namun soal menghormati kepimpinan tertinggi parti tidak seharusnya dipandang ringan.
"Sikap berdiam diri hanya akan menimbulkan persepsi bahawa Pss Selangor tunduk kepada keupayaan politik Bersatu dan gagal mempertahankan maruah kepimpinan parti mereka," ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa KEADILAN Selangor melihat Pas sebagai peneraju utama pembangkang di negeri itu, justeru sebarang tindakan memperlekehkan kepimpinan parti berkenaan adalah tidak wajar.
"Sebarang usaha memperlekehkan kepimpinan Pas dan jenteranya adalah tindakan yang biadab sama sekali," ujarnya.
Terdahulu dalam ceramah di Melaka, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali secara sinis menasihati Presiden Pas, Hj Hadi agar membuka mata melihat jentera pilihanraya Bersatu.
"Kadang-kadang saya tersinggung pada orang yang kata kita (Bersatu) tidak ada jentera (pilihan raya). Bukalah mata. Bukalah telinga. Janganlah pekak!
"Ini semua siapa ni? Ini bukan orang bunian. Ini jentera. Betul atau tidak?" katanya dalam ceramah Bersatu di Melaka.
Kebetulan, pada 22 Mei lalu, Presiden Hadi Awang mendakwa Bersatu menuntut jumlah calon pada PRK dan PRN tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk berkempen.




Comments