Lawatan ke Anna Centenary Library kukuh hubungan ilmu Malaysia–Tamil Nadu
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Lawatan kerja Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj semalam ke Anna Centenary Library di Kotturpuram dilihat membuka ruang memperkukuh hubungan ilmu, budaya dan warisan antara Malaysia dan India, khususnya melibatkan masyarakat Tamil.
Menurut Yunes, kunjungan ke perpustakaan awam moden milik Kerajaan Tamil Nadu itu bukan sekadar lawatan rasmi, sebaliknya menjadi platform penting untuk mendapatkan input, bertukar pandangan serta membina jaringan kerjasama rentas budaya.
"Lawatan ini amat bermakna kerana Perpustakaan Negara Malaysia juga berada di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara.

"Maka, kunjungan ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi ruang untuk mendapatkan input, bertukar pandangan dan membina hubungan rentas budaya antara Malaysia dan India, khususnya melibatkan masyarakat Tamil di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Anna Centenary Library bukan sahaja menawarkan kemudahan moden seperti koleksi ratusan ribu buku, ruang bacaan, fasiliti digital, auditorium dan ruang komuniti, malah turut memelihara khazanah sejarah yang bernilai tinggi.
"(Perpustakaan ini) membawa nilai sejarah yang cukup besar melalui warisan manuskrip Olai Suvadi, iaitu penulisan ilmu di atas helaian daun palma. Tradisi ini membuktikan betapa tingginya tamadun ilmu masyarakat Tamil sejak dahulu," ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai bidang ilmu seperti sastera, perubatan, astronomi, falsafah, agama, seni bina dan sejarah telah direkod serta dipelihara dengan penuh teliti untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Yuneswaran turut menegaskan bahawa peranan perpustakaan melangkaui fungsi tradisional sebagai tempat penyimpanan buku.
"Perpustakaan adalah rumah ilmu, penjaga memori bangsa dan jambatan budaya yang menghubungkan generasi lama dengan generasi hari ini," katanya lagi.
Beliau berharap hubungan ilmu, budaya dan sejarah antara Malaysia dan Tamil Nadu akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.




Comments