Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Yassin kononnya dengan majoriti yang dikembalikan melalui kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat di parlimen Pulai maka Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan dan sempadan kawasan pilihanraya akan diatur semula untuk menguntungkan etnik Cina adalah mengarut.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung, tuduhan Mahiaddin itu hanya bertujuan untuk menipu dan membangkitkan sentimen perkauman dalam kalangan orang Melayu tanpa berdasarkan fakta yang sahih.
"Saya memandang serius tuduhan sebegini kerana politik ketakutan selalunya dilontarkan untuk memomokkan orang Melayu, Kenyataan yang rasis dan berbaur perkauman masih boleh diterima dan menjadi alat permainan PN selama 2 tahun ini.
"Namun apabila perkauman sempit diselitkan dengan fakta separuh masak, itulah yang menipu dan mempengaruhi rakyat biasa yang tidak begitu mengikuti perkembangan semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu menjelaskan, pada waktu ini pun telah berlaku ketidakadilan persempadanan pilihanraya berikutan pertambahan pengundi muda secara mendadak berikutan polisi undi automatik dan Undi 18.
Katanya, sebagai contoh jumlah pengundi di P109 Kapar sebanyak 188,791 orang manakala P92 Sabak Bernam hanya 51,615 orang.
Kedua-dua kerusi adalah di Selangor tetapi perbezaan pengundi adalah amat ketara iaitu hampir 3.6 kali ganda.
Hal itu, kata Chean Chung, menyebabkan pengundi di Kapar yang majoritinya Melayu dan dimenangi oleh PN hanya menikmati lebih kurang 1/4 hak daripada pengundi di Sabak Bernam, kerusi majoriti Melayu yang juga dimenangi oleh PN.
"Adakah ini adil dalam tafsiran Muhyiddin?
"Undi 18 dan pendaftaran automatik telah pun mengakibatkan penambahan pengundi muda secara mendadak di bandar. Di sesetengah kawasan parlimen, pengundi muda di bandar hanya setanding dengan 1/5 undi pengundi warga emas di luar bandar.
"Adalah Muhyiddin berani menganiayai suara dan mencabul hak orang muda ini?" tanyanya.
Secara fakta, kata beliau, persempadanan yang melampau (gerrymandering) dan ketidakseimbangan saiz pengundi (malapportionment) telahpun mengakibatkan ketidakadilan dalam proses pengundian di Malaysia sejak had perbezaan pengundi sebanyak 33.3% dimansuhkan pada tahun 1973.
Selepas 50 tahun, katanya, menjadi tugas pemimpin generasi kini untuk menyemak dan melihat semula ketidakadilan yang ketinggalan zaman itu.
Chean Chung juga mengingatkan Mahiaddin bahawa beliau juga pernah bersama PH dalam demonstrasi Bersih 5.0 untuk pilihanraya bersih dan adil.
"Mungkin Muhyiddin telah lupa beliau pernah menyertai Himpunan Bersih pada tahun 2016 semasa beliau disingkirkan daripada UMNO/BN.
"Masa itu beliau hebat perjuangkan hak pengundian yang adil, malah memakai baju kuning serta dilihat sepentas bersama dengan Tun Mahathir. Adakah itu hanya sandiwara politik yang memang mencerminkan sebahagian besar politikus yang pandai beraksi sekarang?
"Saya menggesa Muhyiddin supaya segera meminta maaf atas kekhilafan yang dibuat semasa berkempen untuk calon PN," katanya lagi.
Sekiranya gagal, tegas Chean Chung, Mahiaddin akan “dicop” sebagai seorang yang menunggang pengundi Melayu dan orang muda demi kepentingan politik peribadi dan kelompoknya sahaja.
Comments