top of page

Seminggu belalu Pas gagal namakan calon Perdana Menteri - Faiz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 23
  • 2 min read

ree

Seminggu selepas berakhirnya Muktamar Pas ke-71, parti berkenaan yang meluluskan usul mengambil alih teraju Perikatan Nasional (PN) masih belum mengumumkan calon perdana menterinya.


Bagi Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil (gambar), hal itu hanya menunjukkan bahawa perpecahan sedang berlaku dalam PN apabila pemimpin Pas yang berbahas dalam muktamar menolak pencalonan Pengerusi Bersatu sebagai calon PM tunggal.


"Perkara utama yang menjadi tumpuan dan perbahasan hangat Muktamar Pas ke-71 minggu lalu adalah Pas secara tersiratnya menolak cadangan Bersatu yang menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional.


"Lihat sahaja ucapan-ucapan perwakilan dan pimpinan utama Pas yang dilihat keras dalam menentang pencalonan Muhyiddin. Ini tidak lain menunjukkan bahawa perpecahan yang ketara sedang berlaku dalam PN," katanya dalam kenyataan.


Faiz menegaskan, tanpa perpaduan kukuh, PN tidak mungkin mampu memimpin negara dengan baik.


"Dengan perpecahan yang berlaku ini, bagaimana PN bermimpi memimpin negara? Tanpa perpaduan yang kukuh dalam mana-mana koalisi, kestabilan politik tidak dapat diwujudkan dan ini melunturkan sokongan rakyat kepada PN untuk menjadi kerajaan," tegasnya.


Sebaliknya, Faiz berkata Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan berkesan.


"Datuk Seri Anwar telah membuktikan beliau dapat mentadbir Malaysia dengan baik apabila kestabilan politik dapat dipertahankan selama 3 tahun pentadbiran kerajaan Madani.


"Tambahan pula, pertumbuhan ekonomi yang dinikmati hari ini adalah hasil kestabilan politik dalam negara. Mata wang mengukuh lebih 6%, KDNK meningkat 4.4%, pelaburan diluluskan melonjak 18.7% ke RM190.3 bilion, inflasi kekal rendah 1.4%, dan kadar pengangguran turun ke 3% pada suku kedua 2025," jelasnya.


Dalam pada itu, Faiz turut menyifatkan sikap Pas memperlekeh institusi Perdana Menteri dengan ungkapan mempunyai tiga hingga empat lori calon sebagai tidak bertanggungjawab.


"Walaupun Pas mendakwa mempunyai ramai calon 3-4 lori jumlahnya, namun sehingga kini tiada seorangpun yang layak dicalonkan. Kenyataan calon 3-4 lori tersebut juga dilihat memperlekehkan institusi PM.


"Walaupun ada pemimpin Pas menyebut dua nama sebagai calon PM, tetapi ia bukan calon rasmi Pas," katanya.


Mengulas lanjut, Faiz menegaskan jawatan Perdana Menteri adalah institusi penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan peranannya bukan untuk diuji cuba dengan calon yang berlori lori.


"Sikap Pas dalam isu pencalonan PM ini mencerminkan betapa tidak bertanggungjawabnya Pas dalam isu pentadbiran.


"Pas bukannya parti yang berjuang untuk mengangkat pentadbiran sebagai agenda penting, sedangkan pentadbiran adalah tunjang kepada sesebuah negara dan aspek penting dalam Islam," ujarnya.


Beliau menutup kenyataannya dengan mengingatkan bahawa pentadbiran adalah aspek utama dalam perjuangan politik dan dan rakyat tidak boleh mencuba Pas yang tidak serius memimpin sebagaimana empat negeri ditadbir mereka tidak membangun.


"Pas bukanlah parti yang serius dalam mengangkat agenda pentadbiran negara, sedangkan pentadbiran yang baik adalah asas kepada kemakmuran rakyat dan negara," tegas Faiz lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page