top of page

Dewan Ulama Pas hentam PMX: Jangan jadi pahlawan kesiangan - Amidi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) menyifatkan kritikan yang dilemparkan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat terhadap Kerajaan MADANI sebagai tidak berasas dan disifatkan seperti “panglima kesiangan”.


Beliau merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada sidang medianya 11 Mac lalu, gagal mengemukakan perancangan konkrit dalam menghadapi kesan peperangan di Timur Tengah.


Menurut Amidi, pada hari yang sama sebenarnya berlangsung pertemuan Menteri Ekonomi negara-negara ASEAN yang membincangkan kebimbangan rantau ini terhadap konflik yang sedang berlaku.


"Konflik di Timur Tengah perlu dihadapi dengan azam yang tinggi oleh negara serantau kerana kesannya dalam jangka panjang dengan skala besar, tidak mampu ditangani secara bersendirian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, pertemuan tersebut turut memutuskan untuk mengoptimumkan kerangka kerjasama serantau seperti ASEAN Power Grid dan Trans-ASEAN Gas Pipeline bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga di rantau ini.


Mengulas perbandingan yang dibuat Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas dengan kisah Nabi Yusuf a.s., Amidi menyifatkan qiyas tersebut sebagai kurang tepat kerana langkah yang diambil oleh Nabi Yusuf ketika itu berdasarkan tafsiran mimpi raja bagi menghadapi situasi kemarau panjang.


"Qiyas pentadbiran Nabi Yusuf a.s yang digunakan adalah kurang tepat. Langkah-langkah yang dinyatakan oleh Nabi Yusof a.s adalah berdasarkan mimpi Sang Raja bagi berhadapan dengan krisis iklim," katanya.


Menurut beliau, kerajaan juga telah mengambil langkah penjimatan termasuk membatalkan sambutan Aidilfitri peringkat institusi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.


"⁠Bukankah langkah berjimat ini serupa dengan saranan Nabi Yusuf kepada Raja Mesir bagi mempersiap negara untuk berhadapan dengan musim kemarau panjang?" soalnya.


Tambah Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, kerajaan pada waktu ini turut meneliti cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah yang sedang dikaji oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai sebahagian langkah mengurangkan penggunaan bahan api fosil dalam kalangan kakitangan kerajaan.


"Jelas Kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk membina daya tahan negara dari sudut ekonomi, sosial, pentadbiran dan teknologi bagi berhadapan dengan situasi dunia yang semakin getir dan tidak menentu," ujarnya.


Amidi turut mempersoalkan kritikan yang dibuat oleh pihak pembangkang sedangkan, katanya negeri yang ditadbir mereka, SG4 sehingga kini masih belum kelihatan langkah konkrit untuk memajukan ekonomi negeri-negeri tersebut.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas agar tidak terus membuat tuduhan tanpa memahami keadaan sebenar.


"Saya nasihatkan agar Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas tidak menjadi panglima kesiangan yang terlepas pertempuran," sinisnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page