Semangat dan idealisme Reformasi perlu diterapkan kepada pimpinan muda KEADILAN yang tidak pernah mengalami derita sensara perjuangan awal di atas jalan raya.
Hal itu ditekankan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran buku sejarah gerakan Reformasi di Melaka, petang semalam.
Menurut Anwar, tanpa idelisme maka pemimpin muda boleh sahaja terikut arus politik semasa yang tidak cocok dengan perjuangan asal KEADILAN.
"Saya ucap tahniah kepada penulis buku yang menggunakan nama Abu Muhamad kerana mencatat fakta penting dari sudut Reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Rakyat, masa itu Parti Keadilan Nasional.
"Mencatat lembaran sejarah ini sesuatu yang perlu kerana generasi kini yang bersama arus perjuangan kalau tidak diberi suntikan semangat yang lalu, semangat akan luntur, idealisme tidak boleh digilap.
"Sebab itu bagi saya setelah meneliti buku ini, draf awal dan diminta berikan kata pengantar, saya anggap buku ini berharga dari sudut memberikan suntikan semangat dari fakta yang berlaku.
"Ini bila kita sebut parti ini parti derita, bangkit di tengah-tengah kegelisahan rakyat jelata dan disuarakan di jalanan merata-rata. Ini bunyi begitu kalau dilihat lembaran kenyataan, ternyata ini kebenarannya," kata beliau sambil mengangkat buku bertajuk "Jejak-Jejak Kelahiran Mengislah Kenegaraan" tulisan Abu Muhamad.
Menurut Anwar, pemimpin-pemimpin yang muncul dari kegetiran 1998 adalah membawa harapan kebangkitan rakyat dan suara sebenar mereka.
Oleh itu, katanya, setelah menang sebagai ADUN, Ahli Parlimen dan sebagainya pemimpin tidak boleh tercabut atau tersisih daripada semangat awal itu.
"Parti ini bukan parti politik biasa. Ia merupakan gerakan rakyat. Kedua, gerakan rakyat menolak kepalsuan, ketidakadilan, robahlah bagaimanapun kenyataan sejarah, ia tidak memadamkan kenyataan bahawa parti ini bangkit begitu rupa.
"Saya tegaskan tentang prinsip yang bukan sahaja menolak kebatilan tetapi mesti mengakkan yang maarof. Kalau kita mula kompromi tentang rasuah, penyelewengan, zahirkan keangkuhan kuasa, kekayaan, dia tidak sebati dengan akhlak yang dibawa oleh parti kita.
"Parti ini dibentuk pelbagai kaum tetapi asasnya Islam dan budaya Melayu tidak boleh dikesampingkan. Parti ini tidak boleh terpisah dari prinsip akhlak selain idealisme," katanya lagi.
Majlis pelancaran buku tersebut diraikan oleh para reformis dari Gabungan Reformis Malaysia, NGO reformis dan tokoh ABIM Prof Dr Razali Nawawi.
Comments