top of page

Semak Fungsi FINAS, Mansuhkan Seksyen 22(1) Akta FINAS Yang Tidak Relevan


Kerajaan digesa supaya mengkaji semula peranan dan fungsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta memansuhkan Seksyen 22 (1) Akta FINAS yang dilihat sudah tidak relevan mengikut perkembangan semasa.


Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kegagalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk memberikan penjelasan sewajarnya mengenai keperluan lesen untuk memuatnaik video di media sosial membuktikan bahawa kajian baharu yang menyeluruh perlu dilakukan oleh kerajaan.


"Langkah semakan ini sangat terdesak dan perlu supaya selaras dengan usaha membangunkan sektor multimedia dan komunikasi negara pada alaf baharu berbanding dengan tujuan penubuhan asal FINAS dan fungsi yang dipertanggungjawabkan empat dekad yang lalu.


"Meskipun Saifuddin berkata kerajaan tidak berniat menggunakan undang-undang penerbitan filem untuk menyekat kebebasan bersuara di media sosial, ia dengan sendiri menunjukkan bahawa dasar kerajaan dalam soal penerbitan, pembangunan dan pengedaran filem tidak jelas dan tidak selari dengan keperluan pada hari ini.


"Penerangan KEADILAN tidak menafikan keperluan untuk mengawal bahan-bahan yang boleh memudaratkan keamanan dan kesejahteraan negara, tetapi kita perlu jelas kepentingan dan keperluan pembangunan kandungan kreatif.


"Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah serius dalam perkara ini dengan menyemak semula peranan dan fungsi FINAS yang digariskan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981," katanya dalam kenyataan.


Pada masa sama, Shamsul juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memansuhkan Seksyen 22(1) yang memperuntukkan semua pengeluar filem dan dokumentasi termasuk oleh orang perseorangan untuk tujuan peribadi atau bukan komersial.


"Syarat orang perseorangan untuk mendapatkan lesen FINAS wajar dimansuhkan. Ia bertentangan dengan dasar tidak ada tapisan ke atas kandungan multimedia.


"Kewujudan peraturan di bawah Akta FINAS juga bertindih dengan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan bertentangan dengan usaha sedia ada untuk meningkatkan penerbitan dan pengeluaran kandungan kreatif dalam Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Dasar Industri Kreatif Negara.


"Pada masa yang sama, bagi memberi kelonggaran kepada pengamal media dalam aspek memenuhi syarat peleseanan FINAS, Kabinet perlu mengambil tindakan tegas dengan tidak mewajibkan pengamal-pengamal media terikat dengan peruntukan Seksyen 22(1) Akta FINAS, dan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Al-Jazeera," katanya.


Shamsul menambah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai badan kawal selia agensi-agensi di bawahnya perlu jelas dengan fungsinya agensi terbabit termasuk isu lesen FINAS.


"Pertimbangan wajar harus diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia supaya tidak mengelirukan dan membebankan rakyat dengan pengumuman-pengumuman yang tidak relevan mengikut perkembangan semasa," katanya.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page