top of page

Selesaikan 'projek sakit' bina rumah panjang di Long Patan, Long Pahlo

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Penduduk mahu projek sakit rumah panjang terbengkalai (belakang) diselesaikan segera
Penduduk mahu projek sakit rumah panjang terbengkalai (belakang) diselesaikan segera

Meskipun Sarawak agak maju di bahagian bandar namun daerah pedalamannya masih ketinggalan dan kurang diperhatikan dari segi pembangunan, terutamanya insfrastruktur awam.


Sehubungan itu, pasukan aktivis KEADILAN Sarawak bersama KEADILAN Baram baru baru ini menjejaki beberapa projek sakit yang masih menghantui kehidupan komuniti Long Pahlo dan Long Patan, dua penempatan pedalaman yang terletak jauh di kawasan Baram. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Naib Presiden KEADILAN Malaysia, Roland Engan.


Menurut Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana KEADILAN Sarawak, Bruce Yee, dalam lawatan itu mereka mendapati penduduk di dua rumah panjang yang menempatkan hampir 500 orang penghuni masih berada dalam keadaan serba kekurangan walaupun sudah lebih dua dekad menanti pembelaan.


"Komuniti Long Pahlo dan Long Patan masing-masing mempunyai 51 dan 29 pintu. Pasukan kita perlu melalui jalan balak yang mengambil masa hampir 3 jam perjalanan sebelum sampai ke Kampung Long Pahlo dan Long Patan ini.


"Mereka bergantung kepada tenaga solar yang sangat terhad setiap hari. Komuniti ini masih menggunakan sumber air graviti bukit untuk kegunaan harian dan air minum setiap hari," katanya dalam kenyataan.

Roland Engan (tengah) menyertai lawatan
Roland Engan (tengah) menyertai lawatan

Bruce berkata, rumah panjang asal Long Pahlo pernah hangus dijilat api sekitar tahun 2000. Sejak itu, penduduk menetap di ‘Rumah Tamba’ atau rumah sementara yang didirikan sendiri. Hari ini, sudah 25 tahun berlalu, namun komuniti ini masih tinggal dalam rumah sementara itu.


Beliau menambah, pada tahun 2019, komuniti berkenaan diberi sedikit harapan apabila projek pembinaan rumah panjang baharu 51 pintu diluluskan, namun sehingga kini projek tersebut masih terbengkalai dan dikategorikan sebagai projek sakit.


"Hampir tujuh tahun berlalu, rumah panjang baharu itu masih tidak siap. Penduduk sudah berkali-kali menulis kepada wakil rakyat dan Kerajaan Negeri, tetapi semuanya berakhir dengan kekecewaan," katanya.


Bruce menegaskan bahawa kelemahan menjolok mata itu menggambarkan ketidaksaksamaan dalam pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman yang perlu diberi perhatian segera oleh Kerajaan Negeri.


"Komuniti pendalaman terpencil ini wajar mendapat layanan yang setaraf dengan penduduk di bandar supaya mereka boleh merasai pembangunan, kemajuan dan kekayaan di negeri kelahiran mereka," tegasnya.


Justeru, katanya, KEADILAN Sarawak akan terus memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat pedalaman yang masih tertinggal dalam arus pembangunan negeri.


"Kami bertekad membela dan memperjuangkan hak serta keadilan untuk komuniti seperti Long Pahlo dan Long Patan, supaya mereka tidak terus terpinggir hanya kerana faktor geografi dan bangsa," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page