
Teguran supremo DAP Lim kit Siang bahawa Malaysia didakwa di laluan yang sama dengan Sri Lanka mungkin ada kebenarannya sekiranya dilihat daripada aspek keberhutangan negara.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, negara ini pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak dilihat telah masuk ke dalam lingkaran projek 'gajah putih' China sebagaimana Sri lanka.
Salah satu projek yang tidak berdaya maju ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Katanya, projek China di Sri Lanka juga menggunakan cara sedemikian iaitu membina lebuh raya, lapangan terbang dan pelabuhan besar yang tidak dimanfaatkan oleh rakyat kerana kos untuk menggunakannya tinggi.
Akibatnya hutang gagal dibayar dan China menawarkan untuk mengambil alih kemudahan yang dibina dengan pajakan berpuluh puluh tahun.
"Najib pertahan ECRL, padahal ia projek gajah putih yang akan membawa hutang besar pada negara dan hutang ini tidak boleh dilupus, dibayar sekitar 30 tahun hingga 40 tahun pun dijangka tidak habis.
"Tambahan pula mata wang kita jatuh dan hutang pada negara China akan bertambah dan ini menjadi kerisauan kita kerana menanggung hutang berlipat ganda secara automatik.
"Negara China akan menuntut tanah-tanah wilayah yang strategik (sekiranya hutang tidak dibayar) dan kita lihat seperti isu Laut China Selatan negara China sangat berminat. Kita bimbang perkara ini akan jadi galang ganti kepada hutang yang dibuat kerajaan sebelum ini," katanya.
Tegas Azan, Umno BN dan konconya dalam PN terlalu cetek pemikiran dan tidak mampu untuk memikirkan keburukan hutang China berkenaan.
Namun kata Azan, mujurlah negara diperintah sekejap oleh Pakatan Harapan pada 2018 - 2020 yang menyusun semula hutang hutang berkenaan.
Bagaimanapun katanya, selepas kejatuhan PH hutang negara kekal melonjak lebih RM1 trilion dan akan menyukarkan generasi akan datang untuk membayarnya.
"Umno terlalu lemah untuk memahami perkara ini, termasuk konco-konconya Pas (dan Bersatu). Mereka terbukti tak ada keutamaan terhadap masalah negara.
"PH pada 2018, kita selesaikan sikit demi sikit masalah hutang ini. Mudah kata, lagi lama kita beri Umno dan Pas (memerintah) maka lebih teruk lagi negara kita," ulasnya.
Azan berharap rakyat Malaysia akan mempunyai sedikit kematangan untuk menterbalikkan momentum kemenangan Umno BN di peringkat negeri menjadi kekalahan mereka di peringkat pusat bagi mengelak generasi akan datang terus terbeban dengan hutang yang tidak perlu.