Selesai segera kemelut pentadbiran N Sembilan, elak ketidaktentuan


KEADILAN Negeri Sembilan menggesa kemelut institusi dan pentadbiran negeri itu diselesaikan segera bagi mengelakkan rakyat terus menanggung kesan daripada ketidaktentuan yang berlaku.
Pengerusinya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkembangan semasa bukan sahaja menyentuh persoalan Perlembagaan dan institusi diraja malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
"KEADILAN Negeri Sembilan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan dan pendirian Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
"Ketidaktentuan berkaitan kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri," kata MPN KEADILAN Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dimuat naik Aminuddin menerusi akaun Facebook beliau selepas MPN KEADILAN Negeri Sembilan mengadakan mesyuarat malam tadi.
Kenyataan itu berkata urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan serta boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga.
"...(Ia) memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat," menurut kenyataan itu.
KEADILAN Negeri Sembilan turut menggesa supaya pelantikan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis tidak terus tergantung.
Menurutnya, kedua-dua institusi berkenaan menjadi penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi, manakala keadaan yang berpanjangan berisiko menjejaskan saluran perwakilan dan penyelarasan di peringkat komuniti.
KEADILAN negeri pada masa sama berkata, keadaan semasa menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan.
"Walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat," katanya.
Kenyataan itu turut menggesa kerajaan negeri memastikan wujud kejelasan mengenai kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran.
Dalam perkembangan berkaitan, kemelut Negeri Sembilan sebelum ini turut menyaksikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal pada 22 September lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pegawai berkenaan kemudian memaklumkan mereka terus menjalankan tugas seperti biasa susulan arahan Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Peguam Negara.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan bahawa tindakan MMKN berhubung kedudukan Tuanku Muhriz perlu ditentukan melalui proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah.
KEADILAN Negeri Sembilan menyeru semua pemimpin politik supaya mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses Perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
"Pendirian KEADILAN Negeri Sembilan adalah jelas, akan sentiasa menjunjung kasih dan memberikan sokongan kepada DYMM Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri," kata kenyataan itu lagi.




Comments