Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu mendesak Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas bekalan air agar menyelesaikan segera isu berkenaan di Besut sehingga menjejaskan 2,670 penduduk sekitar.
Ketua AMK negeri, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, proses pembaikan yang berlarutan sehingga 21 hari itu terlalu lama untuk ditunggu memandangkan ia telah menjejaskan 11 buah penempatan di kawasan terbabit.
"Isu air sehingga hari ini masih belum selesai, disebabkan bahan untuk membaiki kebocoran itu lambat sampai, jadi proses pembaikian mengambil masa untuk disiapkan.
"Justeru saya minta Kerajaan Negeri untuk selesaikan isu ini secepat mungkin kerana ramai yang terjejas ekoran gangguan bekalan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Katanya, insiden kebocoran paip dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu setakat ini telah menjejaskan banyak kawasan antaranya Kampung Raja, Pekalan, Limpungan dan lain lain.
"Buat masa sekarang, banyak pihak yang turun membantu termasuk kerajaan dan pimpinan parti politik.
"Cumanya yang menjadi kekhuatiran sekarang adalah penduduk di kawasan pedalaman yang mungkin sukar untuk mendapat bantuan bekalan air," ujarnya.
Pada 1 Januari lalu, Syarikat Air Terengganu (SATU), memaklumkan gangguan bekalan Tangki Air Bukit Kluang dijangka berlarutan sehingga 21 hari.
Menurut SATU, insiden itu berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut dan kerja pembaikan baru sahaja bermula pada 9 Januari lalu.
Sebelum ini, media arus perdana melaporkan terdapat penduduk yang terpaksa menggunakan air perigi akibat gangguan bekalan itu yang berlarutan begitu lama dan air simpanan mereka telah habis.
Comments