Selesai masalah lama perlu masa, pentadbiran sekarang tiada ruang 'sakau' - PM
- Sidiqin Omar
- 6 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang diwarisi negara bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat, namun memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan sesekali berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, kritikan bahawa kerajaan dilihat masih belum cukup tegas dalam menyelesaikan isu-isu lama adalah sesuatu yang diterima dengan hati terbuka kerana proses pembaharuan memerlukan masa dan ketekunan.
"Betul orang kata saya tak tegas selesaikan masalah-masalah lama. Saya akui, mengambil masa. Tapi satu perkara yang tidak kita tolak langsung.
"Kalau cuba salah guna kuasa, rompak kekayaan masa kita berkuasa, kamu tidak akan selamat. Kita akan buru kamu," katanya ketika berucap di ceramah “Yok Merahkan Johor, Undi Harapan di Puteri Wangsa malam tadi.
Anwar berkata, komitmen membanteras rasuah merupakan asas penting pentadbiran Kerajaan MADANI bagi memastikan kekayaan negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat, bukannya diseleweng oleh pihak yang menyalahgunakan kedudukan.
Beliau menegaskan Malaysia bukan sebuah negara yang miskin dan mempunyai potensi ekonomi serta sumber yang mencukupi untuk terus berkembang.
Justeru, katanya, kemajuan negara hanya boleh dicapai sekiranya kebocoran akibat rasuah dan penyelewengan dapat dihentikan.
"Apa salahnya di Malaysia? Apa kurangnya kita? Adakah kita miskin? Tidak. Tidakkah kita mempunyai sumber yang mencukupi? Tidak. Adakah kita menarik pelaburan asing? Ya.
"Salahnya bila kita ada kuasa, kita ambil harta yang bukan hak kita," katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, usaha memulihkan tadbir urus negara memerlukan sokongan berterusan daripada rakyat agar budaya integriti dapat diperkukuhkan dan keyakinan terhadap institusi negara terus dipulihkan.
Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha memperbaiki kelemahan yang diwarisi sambil memastikan setiap tindakan berpaksikan prinsip akauntabiliti, integriti dan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang.
