
Calon KEADILAN DUN Rengit, Khairuddin A Rahim menawarkan 4 perkara untuk dipertimbangkan oleh pengundi di DUN berkenaan sebelum membuang undi esok hari.
Menurut beliau, perkara tersebut adalah hal yang mendesak dan sebagaimana beliau di DUN Senggarang sebelum ini yang berjaya menyelesaikan masalah, pengundi di Rengit juga akan mendapat manfaat sama sekiranya mengundi KEADILAN pada kali ini.
"Saya memahami menjadi wakil rakyat merupakan suatu tanggungjawab yang besar. Iaitu menjadi suara rakyat untuk membawa permasalahan rakyat.
"Saya bercita cita menjadikan Rengit sebuah kawasan DUN yang lebih produktif. Antara isu yang akan saya bawa adalah insfrastruktur jalan raya. Jalan jalan yang rosak yang mendap mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya
"Begitu juga isu bekalan air yang tidak selesai dari dahulu hingga ke hari ini, di mana rakyat di kawasan kampung pendalaman menghadapi masalah tekanan air rendah," katanya.
Bagi Khairuddin yang juga seorang jurutera, tawaran untuk memperbaiki akses dan gelombang internet boleh dilakukan sekiranya beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat.
"Masalah capaian internet yang sungguh lemah menjadi rungutan penduduk di sini, khususnya ibu bapa. Capaian internet yang lemah menyebabkan pelajar, anak anak di sini tidak dapat pembelajaran yang sempurna.
"JUga isu hakisan pantai. Saya mendapat aduan ratusan ekar tanah telah tenggelam ke lautan.
"Itulah 4 isu penting yang akan saya bawa ke DUN untuk selesaikan masalah rakyat di DUN Rengit," katanya lagi.
Untuk rekod, Khairuddin mempunyai prestasi cemerlang dan mudah ditemui penduduk ketika berkhidmat di DUN Senggarang yang bersebelahan Rengit sebeum ini,
Beliau juga berjanji untuk berpindah rumah ke Rengit andainya diberi peluang berkhidmat di sana.