Selesai isu harian sebelum bina Chembong baharu - Danish
- Suara Keadilan

- 1 minute ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad berhasrat memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah harian penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16).
Calon berusia 27 tahun itu berkata, pendekatan tersebut penting kerana setiap lokaliti di DUN Chembong berdepan cabaran yang berbeza dan memerlukan penyelesaian mengikut keperluan masyarakat setempat.
"Saya sebagai calon muda tahu kapasiti saya.
"Sebab itu perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bertemu semua pihak berkepentingan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk berbincang mengenai masalah yang berlaku di setiap kawasan," katanya.
Menurut beliau, siri walkabout yang diadakan sepanjang tempoh kempen memberi peluang untuk mendengar sendiri pandangan serta aduan penduduk mengenai pelbagai isu yang masih membelenggu kawasan berkenaan.
Kata Danish, antara perkara yang dibangkitkan ialah gangguan haiwan liar seperti kera yang merosakkan tanaman, selain beberapa isu lain yang memerlukan perhatian segera.
"Dalam DUN Chembong terdapat banyak lokaliti dan setiap satunya mempunyai masalah yang berbeza.
"Kita boleh membawa pembaharuan seperti menjadikan Chembong sebuah bandar pelancongan beradat, tetapi pada masa sama isu-isu setempat juga mesti diberi keutamaan," jelas Danish.
Mengulas prestasi penyandang kerusi DUN Chembong, Danish enggan membuat penilaian secara langsung, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan pengundi.
Namun, beliau mengakui masih menerima pelbagai rungutan daripada masyarakat ketika turun padang sepanjang tempoh berkempen.
"Saya tidak mahu mengulas sama ada ia kegagalan penyandang atau tidak kerana itu hak pengundi untuk menilai.
"Apa yang saya lihat sebagai calon baharu, masih ada beberapa masalah tempatan yang dibangkitkan penduduk dan perkara itu perlu diberi perhatian," kata Danish.
Danish berkata, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, penyelesaian terhadap isu-isu asas akan menjadi keutamaan sebelum merancang projek pembangunan yang lebih besar.
"Kadang-kadang kita terlalu fokus kepada projek besar sehingga terlupa masalah kecil yang dihadapi rakyat.
"Bagi saya, tiada ertinya bercakap tentang pembangunan besar jika aduan asas penduduk masih belum dapat diselesaikan," ujarnya.




Comments