
Derma daripada Raja Arab Saudi kepada bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak yang berlaku hampir sedekad lalu terus senyap tanpa ada sesiapa yang mengesahkan identiti raja Arab yang dimaksudkan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam kenyataan terbaharu masih tertanya tanya mengenai indentiti raja Arab berkenaan sekiranya benar telah menyerahkan wang derma sebanyak RM2.6 bilion kepada Najib.
"Mengapakah tidak ada sesiapa pun yang muncul untuk memberikan keterangan mengenai identiti kerabat diraja Arab yang mendermakan wang ke dalam akaun Najib dalam sedekad yang lepas?
"Perkara ini amatlah menarik memandangkan Timbalan Perdana Menteri ketika perkara ini berlaku telah mengatakan pada bulan Januari 2016, yang dia sendiri telah berjumpa dengan kerabat diraja Arab yang membuat derma yang kemudiannya disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri ketika itu," katanya dalam catatan terbaharu beliau yang lebih ditujukan kepada bekas PM Najib yang sejak kebelakangan ini mempersoalkan pandangan beliau.
Dalam tulisan itu juga, Kit Siang turut membidas sesetengah pihak yang berpendapat golongan warga emas yang telah bersara sepertinya tidak patut memberikan komen politik.
Katanya, ada lebih daripada dua juta orang Malaysia yang berusia lebih daripada 65 tahun, dan hampir tiga rakyat Malaysia yang berusia di antara 55 ke 64 tahun.
"Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan 5 juta rakyat Malaysia tidak patut mempunyai sebarang pandangan mengenai politik. Saya hanyalah bersara daripada politik kompetitif, bukannya daripada politik sepenuhnya, kerana politik ini berkisar dengan setiap aspek kehidupan seharian kita.
"Masa hadapan Malaysia perlulah dibentuk oleh golongan muda di Malaysia, terutamanya oleh lebih daripada 18 juta rakyat Malaysia yang berusia di antara 15 ke 54 tahun, tetapi saya menolak pandangan yang golongan warga emas tidak mempunyai sebarang peranan di dalam proses ini, memandangkan pengalaman mereka adalah satu perkara yang berguna untuk diambil kira dalam menambah baik keadaan masyarakat di Malaysia," katanya.
Tegas Kit Siang, golongan muda perlu memimpin tetapi pada masa yang sama, golongan tua tidak boleh melepaskan tangan daripada tanggungjawab untuk memperbetulkan perkara salah dalam masyarakat seperti rasuah yang berleluasa, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan ketidaksamaan dalam masyarakat.
Menurut beliau, rakyat perlu menerima teguran seorang warga emas mengenai isu sama ada 'derma Najib' atau 'krisis di Sri Lanka' untuk lebih memahami situasi politik semasa
Katanya, Malaysia masih boleh diselamatkan kerana integriti warganya diyakini di luar negara, sebaliknya ahli politik pemerintah di negara ini menyebabkan pandangan begitu negatif ke atas urustadbir yang dibelenggu rasuah.
"Pilihan raya Australia baru-baru ini, di mana seorang rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kota Kinabalu berjaya menjadi Menteri Luar Negeri di sana patut menjadi buah fikiran untuk kita semua mengenai keperluan untuk negara ini kembali kepada prinsip asas pembangunan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Malaysia sebagai sebuah monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, hormat kepada hak asasi manusia dan perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya.
"(Bagi saya) Malaysia masih lagi boleh diselamatkan daripada kleptokrat dan golongan ekstremis," katanya lagi.