
Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Selangor, Najwan Halimi tidak melihat pengkhianatan Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan Februari lalu sebagai faktor yang melemahkan perjuangan Reformasi.
Sebaliknya, beliau berkata dengan keluarnya para pengkhianat, gerak kerja parti boleh dilakukan dengan lebih lancar.
"Saya bersyukur, ada hikmah Langkah Sheraton. Kita dalam AMK sebelum ini untuk bergerak banyak kekangan. Bukan kekangan dari orang luar tetapi kawan-kawan kita dari dalam.
"Bila mereka nyah daripada parti, kita masih boleh berhimpun, boleh mobilise orang. Bermakna KEADILAN ini walaupun ditikam berkali-kali kita tidak mati," katanya dalam Majlis Jelajah Presiden ke Negeri Selangor 2020, malam tadi.
Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik itu juga mengingatkan AMK Selangor supaya tidak membiarkan musuh memandang rendah terhadap KEADILAN.
Katanya, logo KEADILAN telah membuktikan keramatnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu dengan menumbangkan BN yang berkuasa selama 61 tahun.
"Kalau ada nak perlekeh parti jangan beri ruang. Ini Selangor KEADILAN punya. Jangan cabar," tegasnya.
Berhubung spekulasi PRU akan diadakan secara mengejut, Najwan mengingatkan AMK bersiap siaga untuk menggempur lawan, termasuklah bekas rakan yang telah berkhianat.
"Kita dalam AMK bersiap sedia, dua minggu lepas kita lancar jentera pilihan raya AMK negeri untuk siapkan sayap pemuda berdepan PRU tergempar.
"Sekarang di Sabah satu pilihan raya selepas rampasan kuasa gagal. Kemudian mungkin kita menghadapi yang lebih besar, melawan orang-orang yang telah khianat dan sekarang mereka pun tidak tentu hala. Umno tak mahu, Pas tak mahu, Bersatu pun tak mahu. Mereka sekarang jadi hantu raya tidak bertuan. Tetapi 'perasan' macam bangus sangat.
"Kita tidak kompromi. Kita tidak lagi anggap mereka kawan tetapi sebagai lawan. Kita akan lawan sampai mereka kalah.
"Di Ampang kita beri amaran. Ahli Parlimen Ampang kata KEADILAN bangkit dari tidur. Kita tidak pernah bangkit tidur, kita sentiasa bergerak.
"Tuan-puan jangan kita gundah gulana, jangan berpatah harap. Jangan bagi peluang kepada mereka. Kalau kita tidak lawan mereka akan ambil Selangor dan jual kepada BN. Pastikan itu tidak berlaku," katanya lagi.
Najwan turut berpesan agar AMK bersatu padu dan ketepikan perbezaan. Tiada lagi anggota kartel atau bukan kartel, selagi mana anggota umumkan kesetiaan kepada parti, maka mereka perlu diterima sebagai ketumbukan padu KEADILAN Selangor.
Comments