
Pebagai projek insfrastruktur melibatkan Sarawak yang diumumkan dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kuching kelmarin disambut baik oleh masyarakat tempatan.
Bagi Ketua Penerangan Pakatan Harapan Sarawak, Abun Sui Anyit, pengumuman dana bantuan RM300 juta kepada Sarawak dan naik taraf kompleks imigresen dan kastam (CIQ) di pintu masuk sempadan Sarawak - Indonesia amat dihargai dan dinanti nantikan selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua pihak.
Oleh itu, Abun Sui berharap lebih banyak projek Persekutuan selepas ini akan dibina di Sarawak termasuklah naiktaraf jalan raya yang menghubungkan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara dan bandar bandar utama di Sarawak.
"Dengan adanya Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim maka MA63 (Perjanjian Malaysia) direalisasikan seperti yang pernah saya ucapkan sempena Kongres KEADILAN ke-16 pada 17 Jun tahun lepas di Shah Alam.
"Lebih membahagiakan kerana PM bukan sahaja menunaikan MA63, malah menyediakan RM300 juta setiap tahun kepada Sarawak dan juga memberi RM1 billion untuk meningkatkan CIQ sempadan.
"Untuk ini saya berharap CIQ di Tapak Megah dekat Long Busang akan dinaiktaraf dan jalan raya yang menghubungkan Nusantara Indonesia dengan Sarawak boleh dibina dari sempadan Malaysia terus sampai ke Bintulu melalui Daerah Belaga, Hulu Rajang.
"Kita sangat yakin dengan tekad politik PM hal ini dapat direalisasikan. Seperti juga Presiden Indonesia, Joko Widodo boleh membuka Nusantara sebagai Ibu Negara Indonesia yang baharu, tidak mustahil Perdana Menteri boleh membina lebuhraya yang menghubungkan Bintulu-Belaga dan seterusnya ke CIQ Tapak Megah kerana pihak Indonesia telah bersedia lebih awal," kata Abun Sui dalam satu kenayataan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu lagi, dengan adanya lebuhraya penghubung Sarawak melalui Daerah Belaga kelak akan akan pasti ledakan ekonomi melimpah dari ibu negara Indonesia baharu kepada rakyat Sarawak secara amnya dan Hulu Rajang khasnya.
"Kita yakin hal ini dapat dipertimbangkan oleh Perdana Menteri kita
"Dengan adanya kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, maka akan memudahkan lagi infrastruktur lebuhraya ini dapat dilaksanakan," katanya.