Selepas 44 tahun, penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara dapat rumah kekal
- Akmal Manaf
- 23 minutes ago
- 2 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen beliau dalam menyelesaikan isu perumahan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara yang berlarutan selama 44 tahun.
Hannah berkata, pendirian Kerajaan MADANI yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, memelihara Taman Rimba Kiara dan pada masa yang sama memastikan kebajikan penduduk terus terbela telah memungkinkan penyelesaian yang dulu dianggap mustahil, kini berjaya direalisasikan.
Katanya, pembangunan tersebut membuktikan bahawa keperluan perumahan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan secara seiring melalui pendekatan yang mengutamakan kepentingan awam dan kesejahteraan komuniti.

"Sejak tahun 2018, saya bersama penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail, Friends of Bukit Kiara (FOBK), wakil komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan telah memperjuangkan penyelesaian yang memastikan penduduk mendapat perumahan yang bermaruah tanpa mengorbankan pemeliharaan Taman Rimba Kiara.
"Penyelesaian yang dicapai hari ini bukan berlaku dalam sehari. Ia merupakan hasil pelbagai siri perbincangan, rundingan dan mesyuarat yang melibatkan pelbagai pihak selama bertahun-tahun bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua pihak.
"Pendekatan berasaskan konsensus inilah yang akhirnya membolehkan satu penyelesaian yang adil dan mampan dicapai," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Hannah lagi, penyelesaian yang dicapai juga membuktikan pembangunan bandar tidak semestinya berlaku dengan mengorbankan kepentingan komuniti atau alam sekitar.
Sebaliknya beliau berkata, dengan komitmen, kesabaran dan kerjasama semua pihak keseimbangan antara pembangunan, pemuliharaan dan keadilan sosial boleh dicapai.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan dalam perjalanan panjang ini (termasuk) kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud kerana membantu mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang ke atas pembangunan Rumah Panjang Bukit Kiara mengikut perundangan sedia ada," ujarnya lagi.
Terdahulu, Anwar berkata, pembinaan projek perumahan kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menjadi bukti bagaimana hak golongan miskin bandar dapat ditegakkan, meskipun mereka terpaksa menunggu lebih 40 tahun untuk memperoleh penempatan tetap.
"Projek ini tak besar, tetapi kesan dia dari segi sejarah cukup besar. Bukan saja di Malaysia, bayangkan di mana-mana negara, kelompok miskin bandar di rumah panjang begini rupa, berhadapan tekanan perumahan… dengan mahligai keliling, dengan nak jaga hutan, tak pernah menang (kes di mahkamah) dalam sejarah dunia.
"Alhamdulillah, di sini saudara-saudara menang kerana pertahankan hak dan mengikut undang-undang," katanya dipetik.
Projek tersebut membabitkan pembinaan 200 unit pangsapuri dengan setiap pemilik kediaman asal akan menerima dua unit rumah dan setiap kediaman dilengkapi tiga bilik, manakala kerja pembinaan bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Penyelesaian yang dicapai itu sekali gus membolehkan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menerima rumah ganti yang telah lama dijanjikan, dengan pembangunan dihadkan kepada 5.76 ekar manakala baki tanah akan diwartakan sebagai Kawasan Lapang Awam.
Pelan itu turut merangkumi pemeliharaan Taman Rimba Kiara, audit perlindungan pokok, pengekalan tapak kuil sedia ada dan penambahan lot parkir awam daripada 80 kepada 150.
Untuk rekod, Hannah Yeoh yang menjadi Ahli Parlimen Segambut sebelum ini berjuang selama sedekad untuk merealisasikan rumah kekal kepada penduduk rumah panjang tersebut, dan memastikan Taman Rimba Kiara terus terpelihara di tengah tengah proses pembangunan yang rancak ke atas hutan tersebut.
