Selepas 25 tahun, tidak perlu ulangi tohmahan kecederaan Anwar
- Redzuan Shamsudin
- 9 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Selepas 25 tahun gerakan reformasi dan terpenjaranya tokoh reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengalami beberapa kecederaan di dalam tahanan amat tidak wajar tohmahan sama diulang ulang sebagaimana tulisan Ummi Hafilda Ali dalam satu muat naik Facebooknya semalam.
Tohmahan mengulang naratif lama kononnya Datuk Seri Anwar 'berlakon sakit' dibidas aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Syam Ghaz.
Menurut beliau, tulisan Ummi yang menuduh Anwar ‘mereka-reka kecederaan’ dan ‘meminta simpati dunia’ pada tempoh pemenjaraan beliau bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah sepenuhnya dengan dokumen kerajaan, laporan perubatan dan rekod antarabangsa.
"Selama 25 tahun, naratif yang sama diulang, namun tidak pernah disertakan satu pun bukti bertaraf dokumen. Di sebaliknya, sejarah sebenar telah direkodkan dengan jelas dan kekal dalam arkib negara serta liputan antarabangsa.
"Gambar Anwar Ibrahim memakai ‘neck brace’ sambil dibantu keluar dari hospital, seperti yang sering dijadikan bahan fitnah, sebenarnya adalah bukti rawatan sebenar yang diberikan oleh doktor kerajaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"’Neck brace’ bukan alat kosmetik. Ia hanya dipasang apabila wujud kecederaan serviks yang serius, lazimnya berpunca daripada trauma hentakan kuat pada kepala dan leher.
"Dalam laporan panel doktor HKL, kecederaan Anwar disahkan sebagai ‘consistent with blunt force trauma’, bukan kecederaan yang boleh dibuat-buat," katanya dalam satu muat naik di Facebook.
Mengenai gambar mata lebam Anwar yang tersebar di seluruh dunia ketika beliau dibawa ke mahkamah, Syam Ghaz menegaskan imej itu juga bukan suntingan, tetapi rekod kecederaan fizikal akibat hentakan kuat.
"Selepas dibebaskan untuk rawatan, Anwar menjalani MRI dan pemeriksaan lanjut di Munich, Jerman dan doktor di sana mengesahkan bahawa kecederaan pada tulang leher dan saraf tunjang beliau adalah akibat trauma fizikal, bukan penyakit semula jadi," katanya.
Beliau menggesa orang yang membuat tohmah untuk merujuk jurnal perubatan terlebih dahulu bagi mengetahui kesakitan yang diulas.
Tegas Syam Ghaz, kecederaan bahagian serviks bukanlah hal yang tidak boleh dirawat, dan tidak mustahil individu yang telah menjalani rawatan boleh aktif semula selepas sembuh.
''Tuduhan bahawa ‘kalau dulu sakit’, kenapa sekarang boleh berjalan dan berlari adalah logik dangkal. Kecederaan serviks adalah kecederaan yang boleh sembuh selepas rawatan, fisioterapi, dan pembedahan sama seperti mangsa kemalangan yang memakai neck brace beberapa minggu tetapi mampu pulih.
"Tiada satu pun laporan perubatan menyatakan bahawa kecederaan Anwar adalah kecacatan kekal.
"Sejarah bukan ditulis oleh emosi, tapi ia ditulis oleh dokumen rasmi, rekod perubatan, laporan kerajaan, dan fakta undang-undang. Semua ini berdiri di pihak Anwar, bukan pihak cerita dongeng," bidas beliau lagi.





